MOSCOW: Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova berkata, Moscow kini berjaya menyesuaikan diri dengan sekatan Barat melalui pembangunan mekanisme ekonomi baharu serta pengukuhan kerjasama dengan rakan bukan Barat.
Bercakap kepada agensi berita Tass, Zakharova berkata, dasar luar dan diplomasi ekonomi Russia kini memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan syarat yang boleh dipercayai untuk bekerjasama dengan negara-negara yang digelarnya sebagai ‘majoriti global’.
“Landskap geopolitik sedang berubah dengan pantas, tetapi Russia telah belajar mencipta antidot kepada racun ini.
“Sekatan berskala besar yang bertujuan mengasingkan negara kami dari segi kewangan dan teknologi tidak mencapai matlamatnya,” katanya.
Zakharova berkata, kerajaan kini mengutamakan sistem kewangan alternatif, perdagangan menggunakan mata wang nasional serta penyelarasan lebih rapat dengan ahli BRICS dan rakan lain.
Beliau turut menolak dakwaan Barat mengenai kemerosotan ekonomi Russia, sambil menegaskan Kesatuan Eropah (EU) sendiri berdepan cabaran akibat sekatan yang dilaksanakannya.
Zakharova menggambarkan BRICS sebagai platform tidak konfrontasional yang memupuk kesamarataan dan manfaat bersama serta menegaskan tiada negara ahli berhasrat meninggalkan kumpulan itu walaupun dikritik Barat.
Nilai pasaran dua pengeluar minyak terbesar Russia, Rosneft dan Lukoil dilaporkan susut sebanyak AS$5.2 bilion (RM21.8 bilion) selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan baharu terhadap syarikat berkenaan dan anak syarikat mereka.
Saham Rosneft jatuh tiga peratus kepada 389.85 rubel (RM20.56), paras terendah sejak Mei 2023, manakala saham Lukoil menjunam 7.2 peratus dalam tempoh dua hari.
Penganalisis berkata, sekatan baharu itu yang pertama sejak Presiden AS, Donald Trump kembali ke Rumah Putih boleh melemahkan lagi sektor tenaga Russia dan menghadkan kerjasama dengan rakan antarabangsa.










