MISSISSIPPI: Sekumpulan monyet makmal yang dijangkiti penyakit dilaporkan terlepas selepas sebuah lori yang membawa haiwan tersebut terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Antara Negeri 59, Mississippi pada Selasa.
Menurut hantaran di Facebook Jabatan Sheriff Jasper County, lori berkenaan membawa monyet jenis rhesus dari Universiti Tulane di New Orleans, Louisiana.
Haiwan itu dilaporkan dijangkiti beberapa virus termasuk hepatitis C dan Covid-19, sekali gus menimbulkan risiko kesihatan kepada manusia.
“Monyet-monyet ini mempunyai anggaran berat sekitar 18 kilogram, bersifat agresif terhadap manusia dan hanya boleh dikendalikan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE),” jelas jabatan itu dalam kenyataannya di media sosial.
Bagaimanapun, pihak Universiti Tulane menafikan dakwaan monyet berkenaan membawa penyakit berjangkit.
Jurucakap universiti berkenaan, Andrew Yawn dipetik portal WTVA berkata, primat bukan manusia di Pusat Penyelidikan Bioperubatan Nasional Tulane dibekalkan kepada organisasi penyelidikan lain bagi tujuan memajukan penemuan saintifik.
“Haiwan yang terlibat dalam insiden ini bukan haiwan menyebarkan penyakit. Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan akan menghantar pasukan pakar penjagaan haiwan bagi membantu usaha mencari seekor lagi yang masih bebas,” katanya.
Menurut pihak berkuasa, kesemua monyet lain sudah ditangkap dan dibunuh.-AGENSI










