WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Perdana Menteri India, Narendra Modi memberi jaminan India tidak akan lagi membeli minyak dari Russia.
“Saya tidak gembira dengan tindakan India membeli minyak dari Russia, dan beliau (Modi) memberi jaminan kepada saya hari ini mereka tidak akan lagi membeli minyak dari Russia.
“Itu satu langkah besar. Kini, kami akan pastikan China juga melakukan perkara yang sama,” kata Trump.
India dan China kini merupakan dua pembeli terbesar minyak mentah Russia, memanfaatkan diskaun harga selepas pembeli Eropah menghentikan import dan Barat mengenakan sekatan susulan pencerobohan Moscow terhadap Ukraine pada Februari 2022.
Trump sebelum ini telah mengenakan tarif sebanyak 25 peratus terhadap eksport India ke AS, bagi memberi tekanan negara itu menghentikan pembelian minyak Russia.
Tambahan 25 peratus dikenakan selepas rundingan perdagangan awal antara kedua-dua negara gagal dicapai.
Bagaimanapun, India mempertahankan langkah pembelian itu sebagai keperluan penting untuk keselamatan tenaga negara, memandangkan Russia kini merupakan pembekal utama minyak kepada India, dengan purata 1.62 juta tong sehari dihantar pada September.
Kedutaan India di Washington belum mengeluarkan kenyataan balas berhubung dakwaan komitmen tersebut daripada Modi.
Langkah India menghentikan import, sekiranya direalisasikan, bakal menjadi perubahan besar dalam landskap tenaga global, dan boleh memberi tekanan kepada negara lain yang masih bergantung kepada minyak Russia seperti China dan Turkiye.