VILNIUS: Lithuania menuduh sekutu Russia, Belarus, melancarkan ‘serangan hibrid’ selepas puluhan belon membawa barangan seludup memaksa penutupan sementara dua lapangan terbang utama negara itu minggu lalu.
Perdana Menteri Lithuania, Inga Ruginiene berkata, tindakan Belarus yang gagal menahan pihak bertanggungjawab menunjukkan penglibatan langsung pihak berkuasa Minsk.
“Kami menganggap ini sebagai satu serangan hibrid,” katanya kepada media.
Kejadian itu menyebabkan lapangan terbang di Vilnius dan Kaunas ditutup sementara, selepas belon berisi rokok seludup dipercayai dikendalikan oleh penyeludup Belarus dikesan memasuki ruang udara Lithuania.
Susulan insiden itu, Lithuania turut menutup dua lagi lintasan sempadan terakhir dengan Belarus, sebagai langkah memberi isyarat bahawa provokasi sedemikian tidak akan diterima.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen turut mengecam insiden itu sebagai ancaman keselamatan baharu.
“Ini satu tindakan destabilisasi dan provokasi,” katanya sambil menegaskan Kesatuan Eropah (EU) akan memperkukuh pertahanan di sempadan timur.
Ruginiene berkata, tentera Lithuania kini dibenarkan menembak jatuh belon yang dikesan memasuki ruang udara negara itu.
Beberapa individu turut ditahan di Lithuania selepas cuba mengutip muatan rokok yang dibawa belon berkenaan.
Sementara itu, Menteri Luar Belarus, Maxim Ryzhenkov menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai provokasi untuk mencetuskan tindakan terhadap Belarus dan Russia.
Belarus turut memanggil wakil sementara Kedutaan Lithuania di Minsk bagi menyampaikan bantahan rasmi. -AGENSI










