AUCKLAND: Bagi kebanyakan orang, memperkenalkan diri hanyalah satu formaliti ringkas, cukup beberapa saat untuk menyebut nama.
Namun bagi Laurence Watkins, proses itu mengambil masa 20 minit penuh.
Lelaki berusia 60 tahun dari Auckland, New Zealand itu memegang rekod dunia Guinness sebagai individu dengan nama peribadi terpanjang di dunia terdiri daripada 2,253 perkataan.
Rekod luar biasa itu mula mendapat perhatian pada majlis perkahwinannya pada tahun 1991, apabila jurunikah terpaksa memainkan rakaman nama penuh Watkins kerana terlalu panjang untuk disebut secara langsung.
Sementara para tetamu bersantai dengan segelas champagne, rakaman itu berkumandang selama hampir 20 minit sehinggalah tiba saat Watkins mengucapkan dua perkataan yang paling dinanti, “I do.”
Watkins, bekas pengawal keselamatan bersenjata yang kini menetap di Sydney sebagai warganegara Australia, mula dikenali dunia apabila Guinness World Records mengesahkan semula pencapaiannya baru-baru ini, setelah rekod asalnya, nama Kristian terpanjang diiktiraf pada tahun 1992.
Dilahirkan sebagai Laurence Gregory Watkins pada tahun 1965, minatnya terhadap dunia rekod bermula sejak kecil apabila dia gemar menonton rancangan Ripley’s Believe It or Not! yang memaparkan fakta-fakta aneh dan individu luar biasa dari seluruh dunia.
Ketakjubannya terhadap rancangan itu membuatkan Watkins membaca buku Guinness World Records dari muka hadapan hingga belakang, sehingga timbul hasrat untuk tersenarai sebagai salah seorang pemegang rekod dunia.
“Saya kagum dengan mereka yang luar biasa misalnya lelaki terpantas di dunia, tertinggi, terkuat, malah mereka yang memiliki rambut atau kuku paling panjang,” katanya kepada CNN.
Namun, Watkins mengakui dia bukanlah seorang yang berbakat luar biasa.
“Saya hanya orang biasa tanpa keistimewaan. Jadi saya fikir, mungkin saya boleh cipta sesuatu yang tiada siapa pernah buat, nama paling panjang di dunia,” katanya.
Beliau kemudian menghabiskan masa sebulan untuk mencipta nama baharunya, sebelum membayar NZ$400 (RM971) kepada seorang jurutaip untuk menulis keseluruhan nama itu di atas kertas yang kini menjadi sebahagian daripada sejarah dunia. -CNN










