Kerajaan masih ditutup, bantuan makanan kepada 40 juta rakyat AS dihentikan

Kerajaan masih ditutup, bantuan makanan kepada 40 juta rakyat AS dihentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Lebih 40 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) dijangka tidak akan menerima bantuan makanan mulai November ini berikutan penutupan kerajaan persekutuan yang masih berlarutan, menurut kenyataan Jabatan Pertanian AS (USDA).

Dalam notis yang dimuat naik di laman rasminya, jabatan itu memaklumkan dana bagi program berkenaan sudah habis sepenuhnya.

“Kesimpulannya, perigi dana sudah kering,” menurut kenyataan itu, sambil menuding jari kepada Parti Demokrat di Senat sebagai punca kebuntuan semasa.

Program bantuan berkenaan yang dikenali sebagai Supplemental Nutrition Assistance Program (SNAP), digunakan oleh kira-kira seorang daripada setiap lapan rakyat AS dan menjadi tunjang utama perbelanjaan makanan isi rumah berpendapatan rendah.

Awal bulan ini, pentadbiran Presiden, Donald Trump menolak cadangan untuk menggunakan dana simpanan kecemasan bagi menampung bantuan makanan tersebut, dengan alasan dana itu perlu disediakan untuk menghadapi bencana alam dan situasi kecemasan lain.

Keputusan itu mencetuskan kecaman hebat daripada anggota Kongres Parti Demokrat yang menuduh Trump bertindak kejam dan melanggar undang-undang.

Menurut Pusat Kajian Bajet dan Keutamaan Dasar (CBPP), sebuah badan pemikir yang meneliti dasar bagi keluarga berpendapatan rendah, dana simpanan SNAP hanya mampu menampung sekitar 60 peratus manfaat bagi tempoh sebulan.

Menurut CBPP, sebuah keluarga berempat menerima purata bantuan sebanyak AS$715 (RM3,015) sebulan, bersamaan kurang daripada AS$6 (RM25.30) sehari bagi setiap individu dan ia dikendalikan oleh kerajaan negeri dengan sebahagian besar dana disalurkan oleh kerajaan persekutuan.

Beberapa negeri menyatakan kesediaan untuk menggunakan dana mereka sendiri bagi menampung kekurangan tersebut, namun kerajaan persekutuan memberi amaran perbelanjaan itu tidak akan diganti semula.

Antara negeri yang terjejas teruk ialah Massachusetts, di mana kira-kira sejuta penduduk dijangka kehilangan bantuan makanan, manakala beberapa negeri lain seperti California dilaporkan mengerahkan Pasukan Pengawal Kebangsaan bagi membantu pengagihan makanan kepada golongan terjejas.

Beberapa negeri turut bekerjasama dengan badan amal dan bank makanan tempatan bagi menyediakan sumber makanan alternatif kepada penerima SNAP.

Penutupan kerajaan AS kini memasuki hari ke-26, menjadikannya penutupan kerajaan kedua terpanjang dalam sejarah negara itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN