LONDON: Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris, memberi bayangan beliau mungkin akan bertanding semula merebut jawatan Presiden pada masa hadapan.
Dalam temu bual bersama stesen televisyen Britain BBC yang disiarkan semalam, Harris, 61, berkata, beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan bertanding pada pilihan raya 2028.
Harris sebelum ini menggantikan Joe Biden sebagai calon parti Demokrat bagi pilihan raya presiden 2024 namun tewas kepada Donald Trump.
Bagaimanapun, beliau menegaskan dirinya belum bersara daripada dunia politik dan yakin generasi muda dalam keluarganya akan menyaksikan seorang wanita menduduki kerusi Presiden di Rumah Putih suatu hari nanti.
“Saya sudah mengabdikan seluruh kerjaya saya dalam perkhidmatan awam, ia sudah sebati dalam diri saya dan terdapat banyak cara untuk terus berbakti.
“Saya masih belum memutuskan apa yang akan saya lakukan pada masa depan, selain daripada apa yang sedang saya lakukan sekarang ,” katanya kepada BBC dalam temu bual yang akan disiarkan sepenuhnya pada Ahad ini.
Kenyataan itu dilihat sebagai petunjuk paling jelas Harris mungkin mempertimbangkan untuk kembali mencuba nasib sebagai calon Parti Demokrat bagi pilihan raya Presiden 2028.
Temu bual berkenaan diadakan susulan penerbitan memoir terbaharu beliau bulan lalu, yang antara lain mengkritik keputusan membenarkan Biden bertanding untuk penggal kedua sebagai satu tindakan tidak berhemah.
Dalam memoir tersebut, Harris turut menuduh pasukan pentadbiran Biden gagal memberikan sokongan sewajarnya kepadanya semasa menjawat jawatan naib presiden.
Malah beliau mendakwa pasukan itu kadangkala bertindak menghalang tugas-tugasnya.










