Junta Myanmar mulakan kempen pilihan raya 

Junta Myanmar mulakan kempen pilihan raya 

PENDUDUK memandu melepasi papan iklan kempen pilihan raya memaparkan Pengerusi Parti USDP, Khin Yi menjelang permulaan kempen pilihan raya di Yangon.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Parti-parti yang diluluskan untuk menyertai pilihan raya anjuran junta Myanmar mula berkempen semalam, dua bulan menjelang pengundian yang diboikot di dalam dan luar negara kerana dianggap sebagai usaha untuk menghalalkan pemerintahan tentera.

Myanmar masih dilanda perang saudara sejak tentera merampas kuasa pada 2021, menggulingkan dan memenjarakan ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi selepas partinya menang besar dalam pilihan raya terdahulu.

Walaupun junta kehilangan kawalan ke atas sebahagian besar wilayah kepada gerila pro-demokrasi dan kumpulan bersenjata etnik minoriti, mereka tetap menonjolkan pilihan raya ini sebagai jalan menuju perdamaian dan penyatuan.

Namun, pihak pemberontak berikrar memboikot pilihan raya di kawasan luas yang mereka kuasai, manakala kumpulan hak asasi manusia serta pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengecam syarat ketat di kawasan yang dikuasai junta.

Sebanyak 57 parti akan bertanding apabila pengundian dijalankan secara berperingkat mulai 28 Disember.

Namun, Parti Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi yang memenangi 82 peratus kerusi dalam pilihan raya 2020 tidak akan bertanding selepas junta membubarkan parti itu dan memenjarakan Suu Kyi atas tuduhan penipuan undi yang tidak berasas.

Parti pro-tentera Union Solidarity and Development Party (USDP) memulakan kempennya dengan pelancaran papan iklan di ibu negara Naypyidaw, diikuti siaran iklan kempen di media kerajaan pada waktu malam.

Namun, suasana kempen dijangka hambar dengan kawalan keselamatan ketat di tengah perang saudara yang berlarutan.

“Saya mungkin tidak akan mengundi, malah tidak pasti sama ada nama saya ada di dalam daftar pemilih. Kami tidak begitu berminat. Kami cuma mahu pulang ke rumah,” kata seorang pelarian perang di bandar Mandalay.

Menurut sumber diplomatik kepada AFP, ASEAN tidak akan menghantar pemerhati ke pilihan raya tersebut.

Pelbagai kumpulan hak asasi mendesak blok serantau 11 negara itu agar tidak menghantar pemantau, kerana kehadiran mereka boleh memberi legitimasi kepada pilihan raya yang dianggap pincang dan tidak bebas.

Kerajaan tentera juga menggubal undang-undang baharu yang menghukum penentang pilihan raya dengan penjara sehingga 10 tahun, serta undang-undang siber yang menyelia komunikasi dalam talian yang dianggap mengancam perpaduan nasional.

Junta mengakui pilihan raya tidak akan diadakan di satu daripada tujuh kawasan Parlimen nasional, kebanyakannya zon perang aktif sementara undang-undang darurat masih dikuatkuasakan di satu daripada lima daerah.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN