JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia pada Isnin menafikan laporan media yang mendakwa Presiden Prabowo Subianto akan melawat Israel selepas menghadiri sidang kemuncak damai antarabangsa berkaitan Gaza di Mesir.
Jurucakap kementerian, Yvonne Mewengkang, menyatakan dakwaan tersebut “tidak benar”, sambil menepis laporan media Israel seperti The Times of Israel dan Ynet yang sebelum ini mendakwa persiapan dibuat untuk kunjungan Prabowo ke Israel pada Selasa atau Rabu.
“Tidak benar,” kata Yvonne kepada wartawan.
Prabowo kini berada di Sharm el-Sheikh, Mesir, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Damai Gaza yang dipengerusikan bersama oleh Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Menteri Luar Indonesia, Sugiono, yang mengiringi Prabowo dalam lawatan itu turut menafikan dakwaan kunjungan ke Israel.
“Ia tidak benar. Mengikut perancangan awal, Presiden akan pulang ke tanah air selepas acara di Mesir selesai,” katanya dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh Tempo.
Jika benar, lawatan ke Israel oleh Prabowo akan menjadi yang pertama dalam sejarah oleh mana-mana Presiden Indonesia iaitu sebuah negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan konsisten menyokong perjuangan Palestin.
Dalam usaha membantu menamatkan perang dua tahun antara Israel dan Hamas, Prabowo menyatakan komitmen untuk menghantar 20,000 anggota pasukan pengaman Indonesia ke Gaza, tertakluk kepada kelulusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Sebelum berangkat ke Mesir, beliau mengarahkan Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk bersiap sedia, sekiranya mandat PBB diberikan dan hasil Sidang Kemuncak Gaza memerlukan campur tangan pasukan pengaman antarabangsa.