Harga pas ski di Itali meningkat drastik, sukan luncur salji hanya untuk golongan kaya

Harga pas ski di Itali meningkat drastik, sukan luncur salji hanya untuk golongan kaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Kenaikan harga pas ski di Itali sehingga 40 peratus musim ini mencetus kebimbangan sukan musim sejuk popular itu bakal menjadi hak eksklusif golongan berada, menurut amaran daripada badan pengguna Assoutenti.

Menurut laporan badan pemantau tersebut, harga pas harian untuk Dolomiti Superski yang membolehkan akses ke 12 resort di kawasan Dolomites kini mencecah 86 euro (RM421) sehari.

Di Roccaraso, resort popular di wilayah Abruzzo, harga pas ski harian dijangka meningkat kepada 60 euro (RM293).

Bagi pas bermusim pula, harga berbeza antara 755 euro (RM3,699) di Roccaraso hingga 1,800 euro (RM8,819) di lembah Aosta. Kos sewaan peralatan ski, penginapan dan makanan turut meningkat dengan ketara.

Presiden Assoutenti, Gabriele Melluso menyifatkan kenaikan itu sebagai tidak wajar dan tidak dapat diterima sambil menegaskan kadar inflasi Itali kini stabil dan tarif tenaga yang sebelum ini digunakan sebagai alasan utama telah kembali normal.

“Harga yang melambung ini memaksa golongan berpendapatan sederhana meninggalkan tradisi percutian ski tahunan rakyat Itali,” katanya.

Kajian Assoutenti turut mencatatkan penurunan ketara dalam pelancongan ke kawasan pergunungan, dengan sejuta rakyat Itali dilaporkan tidak lagi berkunjung ke cerun salji pada musim 2024–2025 berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun berlaku kenaikan, Itali masih kekal sebagai destinasi ski lebih murah berbanding Switzerland, Perancis dan Austria.

Kebimbangan mengenai kos ini muncul ketika Itali bersiap menjadi tuan rumah kepada Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan Cortina 2026 dari 6 hingga 22 Februari.

Menteri Luar Itali, Antonio Tajani berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menyeru gencatan senjata global sepanjang temasya itu, sebagai simbol keamanan dan dialog sejagat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN