JAKARTA: Gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di Indonesia sekali lagi meletus hari ini, memuntahkan abu setinggi 10 kilometer (km) ke udara dan memaksa pihak berkuasa menaikkan sistem amaran ke tahap tertinggi.
Terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur, gunung berapi itu meletus pada pukul 1.35 pagi Waktu tempatan selama kira-kira sembilan minit, menurut Agensi Geologi Indonesia dalam satu kenyataan.
Gunung itu juga dilaporkan meletus sehari sebelumnya, pada pukul 9.21 pagi, memuntahkan abu setinggi lapan kilometer selama kira-kira tiga minit.
Semalam, agensi berkenaan menaikkan tahap amaran kepada paras tertinggi selepas merekodkan ‘peningkatan ketara dalam aktiviti gunung berapi’ sejak Isnin lalu, menurut ketuanya, Muhammad Wafid.
“Penduduk yang tinggal berhampiran gunung berapi perlu berwaspada terhadap kemungkinan aliran lahar sekiranya hujan lebat berlaku,” kata Wafid, sambil menasihatkan orang ramai supaya mengosongkan kawasan dalam lingkungan enam hingga tujuh kilometer dari tapak letusan.
Menurut pegawai agensi pengurusan bencana tempatan, Avelina Manggota Hallan, puluhan penduduk di kampung berhampiran gunung berapi itu dipindahkan selepas letusan berlaku.
Kebanyakan penduduk meninggalkan kampung mereka selepas letusan besar Gunung Lewotobi Laki-laki pada November 2024, yang mengorbankan 10 orang dan merosakkan ribuan rumah, kata Hallan.
Kerajaan menutup Lapangan Terbang Fransiskus Xaverius Seda yang terletak di Maumere, wilayah Nusa Tenggara Timur, sehingga esok, menurut pengendali lapangan terbang itu dalam hantaran di media sosial.
Gunung berapi itu kali terakhir meletus pada Ogos lalu.
Ia juga meletus pada Julai, menyebabkan gangguan penerbangan ke dan dari pulau peranginan berdekatan, Bali.
Setakat ini, letusan pada Rabu tidak menjejaskan penerbangan ke dan dari Bali, menurut pengendali lapangan terbang itu kepada Reuters.