BEIRUT: Dua penduduk terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam dua serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel di selatan Lubnan, sekali gus menandakan pelanggaran terbaharu terhadap gencatan senjata yang dimeterai antara rejim tersebut dan kumpulan Hezbollah.
Kementerian Kesihatan Lubnan dalam satu kenyataan memaklumkan, kematian itu berpunca daripada serangan Israel terhadap sebuah kereta di kawasan Haruf, daerah Nabatiyeh.
Tidak lama selepas itu, kementerian berkenaan melaporkan satu lagi serangan udara Israel menyasarkan sebuah motosikal di kawasan Qlaileh, daerah Tyre, yang turut mengorbankan seorang mangsa.
Tentera Israel kemudian mendakwa serangan di Haruf menyasarkan Zayn al-Abidin Hussein Fatouni, yang didakwa merupakan komander unit peluru berpandu anti-kereta kebal Batalion Radwan milik Hezbollah.
Menurut kenyataan tentera Israel, Fatouni terlibat dalam usaha membangunkan semula infrastruktur ketenteraan Hezbollah di selatan Lubnan bagaimanapun, rejim tersebut tidak memberi sebarang maklum balas mengenai serangan di Qlaileh, meskipun laporan tempatan mengenal pasti mangsa sebagai Mohammad Akram Arabiya.
Sejak termeterainya gencatan senjata pada 27 November 2024 bagi menamatkan lebih setahun pertempuran dengan Hezbollah, Israel dilaporkan masih meneruskan siri pengeboman di wilayah Lubnan.
Berdasarkan perjanjian gencatan senjata tahun lalu, tentera Israel sepatutnya berundur dari selatan Lubnan, manakala Hezbollah bersetuju untuk berpindah ke utara Sungai Litani serta membubarkan infrastruktur ketenteraannya di kawasan selatan.
Namun begitu, Israel dilaporkan masih menduduki beberapa pos kawalan di sempadan dan enggan berundur sepenuhnya selagi Hezbollah belum melucutkan semua senjatanya.
Di bawah tekanan Amerika Syarikat (AS) dan bimbang terhadap kemungkinan peningkatan serangan Israel, kerajaan Lubnan kini mengambil langkah awal untuk melucutkan senjata kumpulan Hezbollah.
Beirut turut menegaskan komitmennya untuk menamatkan ‘dualism ketenteraan’ di negara itu, dengan menekankan hanya angkatan bersenjata negara harus dibenarkan memiliki senjata.-AFP
-AGENSI










