China sedia 'berjuang hingga akhir' dalam perang tarif dengan AS - Utusan Malaysia

China sedia ‘berjuang hingga akhir’ dalam perang tarif dengan AS

tarif
DONALD Trump dan Xi Jinping.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China bersedia ‘berlawan hingga ke akhir’ dalam perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Donald Trump mengumumkan akan mengenakan tarif tambahan sebanyak 100 peratus terhadap semua barangan dari negara itu.

Jurucakap daripada Kementerian Perdagangan China berkata, pendirian negara itu dalam isu tarif dan perang perdagangan kekal konsisten.

“Jika anda mahu berperang, kami akan berperang hingga ke akhir. Jika anda mahu berunding, pintu kami sentiasa terbuka,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Kebimbangan terhadap eskalasi konflik perdagangan dua kuasa ekonomi terbesar dunia meningkat hujung minggu lalu apabila Trump mengumumkan langkah drastik itu sebagai tindak balas terhadap kawalan eksport baharu China dalam sektor nadir bumi.

China ketika ini menguasai pasaran global dalam bahan nadir bumi, yang penting untuk pengeluaran pelbagai teknologi tinggi termasuk cip semikonduktor, bateri dan sistem senjata.

Trump turut menyatakan AS akan mula mengenakan sekatan eksport ke atas semua perisian kritikal bermula 1 November, langkah yang dijangka menjejaskan sektor teknologi kedua-dua negara.

Kenyataan Trump juga mencetuskan ketidaktentuan mengenai kemungkinan pertemuan beliau dengan Presiden China, Xi Jinping, yang dijangka berlangsung di Korea Selatan.

Dalam reaksinya, Kementerian Perdagangan China mempertahankan kawalan eksport nadir bumi sebagai tindakan sah selaras dengan undang-undang domestik dan piawaian antarabangsa.

“Sebagai kuasa besar yang bertanggungjawab, China sentiasa melindungi keselamatan negara dan keselamatan kolektif antarabangsa secara tegas,” kata jurucakap tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN