Beijing beri amaran selepas jet dan helikopter tentera AS terhempas di Laut China Selatan

Beijing beri amaran selepas jet dan helikopter tentera AS terhempas di Laut China Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China memberi amaran latihan ketenteraan yang kerap dijalankan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di Laut China Selatan menjadi punca utama ketegangan dan isu keselamatan maritim di rantau itu, susulan dua insiden pesawat tentera AS terhempas di kawasan berkenaan sehari sebelumnya.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata, tindakan AS yang kerap menghantar pesawat tentera ke kawasan itu menunjukkan usaha mempamerkan kekuatan ketenteraan yang menjejaskan kestabilan serantau.

“AS sering menghantar pesawat ketenteraan ke Laut China Selatan dan ini menjadi punca utama kepada gangguan keamanan, kestabilan dan keselamatan maritim di rantau ini,” katanya pada sidang media di Beijing.

Menurut Tentera Laut AS Armada Pasifik, sebuah pesawat pejuang F/A-18F Super Hornet dan helikopter MH-60R Sea Hawk terhempas secara berasingan di Laut China Selatan pada Ahad ketika menjalankan operasi rutin.

Helikopter jenis MH-60R yang ditugaskan kepada Skuadron Serangan Maritim 73 Battle Cats dilaporkan terhempas sekitar pukul 2.45 petang (waktu tempatan), namun semua tiga kru berjaya diselamatkan.

Beberapa jam kemudian, pesawat pejuang F/A-18F Super Hornet dari Skuadron Pejuang 22 Fighting Redcocks turut terhempas semasa menjalankan misi rutin.

Kedua-dua juruterbang sempat keluar menggunakan kerusi anjal dan diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat dari Carrier Strike Group 11.

“Semua anggota terlibat berada dalam keadaan selamat dan stabil. Punca kedua-dua insiden masih dalam siasatan,” menurut kenyataan rasmi Tentera Laut AS.

Mengulas lanjut, Guo berkata, China bersedia memberi bantuan kemanusiaan sekiranya diminta oleh pihak AS.

“Jika AS memohon bantuan, China akan memberikan pertolongan yang perlu atas dasar kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. dalam ucapannya di Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Ahad menzahirkan kebimbangan terhadap kejadian berterusan di Laut China Selatan, termasuk di Laut Filipina Barat yang didakwa mengancam keselamatan anggota tenteranya dan kapal milik negara itu.

Sebagai respons terhadap kenyataan tersebut, Guo menegaskan Laut China Selatan merupakan wilayah bersama antara China dan negara-negara ASEAN, dan keamanan di kawasan itu perlu dipelihara bersama.

“Tindakan provokatif Filipina adalah punca sebenar kepada ketegangan di kawasan itu,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN