Australia saman Microsoft isu langganan pembantu AI Copilot

Australia saman Microsoft isu langganan pembantu AI Copilot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Microsoft, berdepan tindakan undang-undang di Australia selepas didakwa mengelirukan jutaan pengguna untuk membayar yuran langganan bagi perkhidmatan pembantu kecerdasan buatan (AI) terbaharunya, Copilot.

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan terhadap Microsoft Australia dan syarikat induknya, Microsoft Corp, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan palsu dan mengelirukan kepada sekitar 2.7 juta pelanggan.

Menurut ACCC, pengguna yang melanggan pelan Microsoft 365 dengan sistem auto-pembaharuan diberitahu mereka hanya mempunyai dua pilihan sama ada membayar lebih untuk pelan baharu yang disertakan dengan Copilot, atau membatalkan langganan mereka sepenuhnya.

Namun, siasatan mendapati terdapat pilihan ketiga yang disembunyikan iaitu kekal menggunakan pelan asal Classic tanpa Copilot pada kadar langganan asal yang hanya muncul selepas pengguna cuba membatalkan langganan mereka.

“Microsoft sengaja tidak menyebut tentang pelan Classic dalam komunikasi mereka dan hanya mendedahkannya selepas pengguna memulakan proses pembatalan. Tindakan ini bertujuan menggalakkan lebih ramai pelanggan beralih kepada pelan baharu yang lebih mahal,” kata Pengerusi ACCC, Gina Cass-Gottlieb.

Beliau berkata, aplikasi Microsoft Office yang termasuk dalam pelan 365 merupakan perisian penting dalam kehidupan ramai pengguna dan kebanyakan mereka tidak akan membatalkan langganan dengan mudah kerana tiada banyak alternatif lain.

ACCC mendakwa, amalan mengelirukan itu dilakukan sejak 31 Oktober 2024, membabitkan pelanggan pelan peribadi dan keluarga.

Langganan tahunan bagi pelan 365 yang disertakan dengan Copilot dilaporkan 29 hingga 45 peratus lebih mahal berbanding pelan asal tanpa AI tersebut.

Suruhanjaya itu kini menuntut denda, injunksi, pampasan pengguna dan kos guaman, dengan Microsoft berdepan risiko penalti sekitar A$50 juta (RM137 juta) bagi setiap kesalahan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN