DOHA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menzahirkan penghargaan kepada Qatar atas peranannya dalam memeterai perjanjian gencatan senjata di Gaza, meskipun serangan tentera Israel ke atas wilayah Palestin itu masih berterusan.
Ucapan itu dibuat ketika Trump menerima lawatan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan Perdana Menteri, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani di dalam pesawat rasmi Air Force One pada Sabtu.
Pesawat tersebut singgah di Qatar untuk mengisi minyak dalam perjalanan menuju ke Malaysia bagi menghadiri satu sidang kemuncak antarabangsa.
“Kita sudah melakukan banyak perkara bersama, terutama dalam tempoh setahun kebelakangan ini. Apa yang kita capai amat luar biasa, keamanan di Asia Barat dan Qatar memainkan peranan besar dalam menjayakannya. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih,” kata Trump di sisi pemimpin Qatar itu.
Sheikh Tamim menerusi hantaran di platform X pula menyatakan pertemuan itu menjadi peluang penting bagi membincangkan pelan damai di Asia Barat, memperkukuh perjanjian untuk menamatkan perang di Gaza serta meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Pertemuan itu diadakan selepas beberapa pegawai kanan pentadbiran Trump, termasuk Naib Presiden, JD Vance dan Setiausaha Negara, Marco Rubio melawat Israel minggu ini bagi memastikan sekutu Washington itu mematuhi syarat perjanjian berkenaan serta membincangkan fasa kedua pelan keamanan yang diketuai AS.
Namun, pakar menjelaskan beberapa elemen dalam perjanjian tersebut masih belum jelas, termasuk tuntutan Washington agar Hamas melucutkan senjata dan cadangan penempatan pasukan keselamatan antarabangsa di Gaza.
Sementara itu, Trump dalam sidang media selepas pertemuan itu berkata, beliau yakin gencatan senjata akan terus bertahan.
Beliau turut mencadangkan penyertaan tentera Qatar serta negara-negara lain dalam pasukan penstabilan antarabangsa yang bakal ditempatkan di Gaza.
“Kita kini mempunyai 59 negara yang sudah bersetuju. Ini sepatutnya membawa keamanan yang berkekalan,” katanya sambil menambah pasukan keselamatan tersebut boleh dibentuk dalam masa terdekat. -AGENSI










