WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memperketatkan lagi peraturan berkaitan import, pemasaran dan penjualan peralatan telekomunikasi baharu dari China, langkah yang dijangka menambah lagi ketegangan dalam hubungan dua hala menjelang sidang kemuncak antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara pada minggu ini.
Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) AS memutuskan untuk menyekat kelulusan baharu terhadap peranti yang mengandungi komponen daripada syarikat yang tersenarai dalam ‘Senarai Dilindungi’.
Ia turut memberi kuasa kepada agensi itu untuk mengharamkan penggunaan peralatan yang sebelum ini diluluskan dalam keadaan tertentu.
Langkah itu bermakna peranti keluaran syarikat gergasi China seperti Huawei Technologies, Hikvision dan beberapa syarikat lain boleh dikecualikan daripada rangkaian komunikasi AS kerana dianggap menimbulkan risiko keselamatan negara yang tidak dapat diterima.
“Banyak peranti ini mempunyai kaitan rapat dengan musuh asing seperti China dan berpotensi digunakan Parti Komunis China (CCP) untuk memantau rakyat AS, mengganggu rangkaian komunikasi serta mengancam keselamatan negara,” menurut kenyataan yang dikeluarkan FCC.
Menurut agensi itu lagi, peraturan baharu tersebut turut menutup kelemahan pengeluar pemancar modular yang sebelum ini membolehkan pemancar tidak selamat buatan Huawei, Hikvision atau syarikat dalam Senarai Dilindungi digunakan dalam peranti yang diluluskan.
Langkah terbaharu itu dibuat ketika Washington giat menilai semula tahap pendedahan negara terhadap ancaman keselamatan, khususnya melibatkan pengeluar peralatan telekomunikasi dari China,
Ia juga sebagai sebahagian daripada penilaian menyeluruh hubungan antara kedua-dua kuasa besar dunia itu.
Ini bukan kali pertama syarikat telekomunikasi China menjadi sasaran Washington.
Awal bulan ini, FCC turut mengumumkan langkah untuk membatalkan kebenaran operasi syarikat telekomunikasi Hong Kong, HKT anak syarikat kepada PCCW di AS atas alasan keselamatan negara. -AGENSI










