WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) menembak dan membunuh 14 orang serta meninggalkan seorang mangsa terselamat dalam siri serangan ke atas bot-bot yang disyaki terlibat penyeludupan dadah di Lautan Pasifik timur, menurut kenyataan Setiausaha Perang, Pete Hegseth.
Tindakan itu merupakan sebahagian daripada pengembangan kempen pentadbiran Presiden, Donald Trump yang kini meluas dari Caribbean ke kawasan pesisir Amerika.
Dengan serangan terkini, AS kini didakwa sudah melancarkan serangan terhadap sekurang-kurangnya 13 buah bot dan meningkatkan jumlah kematian yang diakui secara rasmi kepada 51 orang sejak kempen ini bermula pada awal September lalu.
Hegseth tidak memberi butiran terperinci, selain menyatakan serangan itu berlaku di perairan antarabangsa di Lautan Pasifik timur.
Minggu lalu, pentadbiran mula menyasarkan bot-bot di sisi barat benua Amerika selepas memfokuskan awalnya kepada kapal-kapal di luar pesisir Venezuela.
Dalam hantaran di media sosial, Hegseth berkata, empat bot diserang pada hari Ahad melalui tiga serangan berasingan dan beliau turut mendakwa bot-bot tersebut dikenal oleh rangkaian risikan AS melalui laluan pengeksportan dadah yang diketahui dan membawa bahan narkotik.
Namun beliau turut mengakui terdapat seorang yang terselamat dan pihaknya kini dalam usaha untuk mengelak pertikaian undang-undang berkaitan penahanan individu itu.
Hegseth berkata, AS meminta Mexico mengambil alih tanggungjawab carian dan penyelamatan, permintaan yang diterima oleh negara tersebut.
Hegseth mempertahankan serangan itu dengan membuat perbandingan tindakan AS terhadap penyeludup dadah setara dengan serangan terhadap sasaran kumpulan al-Qaeda semasa era “perang menentang keganasan”.
“Kementerian menghabiskan lebih dua dekad mempertahankan tanah air orang lain. Kini, kami mempertahankan tanah air kami sendiri.
“Narco-terrorists ini sudah membunuh lebih ramai rakyat AS berbanding Al-Qaida, dan mereka akan dilayan sama. Kami akan mengesan mereka, menghubungkaitkan mereka dan kemudian, kami akan memburu dan membunuh mereka,” katanya.
Serangan bot terkini berlaku ketika AS dilaporkan bersedia memulakan serangan terhadap sasaran di darat dalam beberapa minggu akan datang, susulan penghantaran kapal induk tercanggih Pentagon beserta kumpulan serangannya ke Caribbean, satu peningkatan besar dalam perang bermotifkan pencegahan dadah yang diumumkan pentadbiran Trump. -AGENSI










