DAP dijangka dominasi kerusi dimenangi PH

DAP dijangka dominasi kerusi dimenangi PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAP dijangka menjadi penyumbang utama kepada kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bermula hari ini.

Daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN), DAP akan bertanding di 11 kerusi, iaitu kesemuanya kerusi yang mereka menang dalam PRN terdahulu.

PKR pula akan bersaing di 16 kerusi termasuk enam kerusi yang dimenangi sebelum ini manakala Parti Amanah Negara (Amanah) pula bertanding di baki sembilan kerusi terma­suk kerusi DUN Klawang yang merupakan kerusi tunggal dimenangi parti itu semasa PRN 2023.

Mengambil kira sebanyak 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah, PH hanya perlu mencari tambahan dua sahaja kerusi lagi selepas mereka menang 17 kerusi sebelum ini.

Daripada keseluruhan jumlah 19 kerusi, DAP dijangka akan mendominasi menerusi 11 kerusi yang kekal ditandingi itu termasuk DUN Chennah yang menampilkan sekali lagi penyandangnya iaitu, Anthony Loke Siew Fook.

Walaupun sokongan kepada DAP merosot semasa PRN Johor, parti itu dilihat tidak berdepan banyak masalah untuk mempertahankan kemenangang di kesemua kerusi berkenaan.

DAP kali ini tampil tiga muka baharu iaitu masing-masing di DUN Mambau, Seremban Jaya dan Temiang.

Berdasarkan senarai calon yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, PKR diramal berupaya mempertahankan ke­semua lima kerusi yang disandang mereka iaitu di Sikamat, Ampangan, Pilah, Chuah dan Sri Tanjung walaupun dijangkakan berdepan cabaran sengit lawan.

Parti itu juga mampu menambah dua lagi kerusi yang diperlukan PH iaitu di Linggi yang akan ditandingi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang bertukar kerusi dari DUN Sikamat.

Satu lagi kerusi yang berkemungkinan memihak kepada PKR ialah di DUN Labu. Ia akan ditandingi oleh penyelaras DUN Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak, 41.

DUN Labu sebelum ini dimenangi oleh Mohamad Hanifah Abu Baker dari Perikatan Nasional (PN) yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan.

Jika Mohamad Hanifah mempertahankan kerusi disandang­nya itu, DUN Labu dijangka merupakan antara kerusi tum­puan dalam PRN kali ini.

Amanah pula menerusi sembilan kerusi ditandingi, diramal hanya dapat mengekalkan kemenangan di DUN Klawang iaitu menerusi Datuk Bakri Sawir yang menyandangnya sejak 2018.

Sukar diramal peluang Amanah untuk menang di lapan kerusi iaitu Serting, Lenggeng, Senaling, Johol, Paroi, Kota, Bagan Pinang dan Gemencheh.

Jika ada peluang seimbang berkemungkinan di Paroi iaitu kerusi yang pernah dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum 2018.

Amanah kali ini mempertaruhkan muka baharu DUN berkenaan iaitu Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd. Shah, 41, yang juga Setiausaha Pemuda Amanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN