Keseronokan menikmati seni pementasan yang dipersembahkan banyak bergantung kepada sama ada ia karya sastera yang menarik atau cara ia diangkat ke pentas persembahan.
Persembahan deklamasi puisi sebagai contoh dilakukan pelbagai cara termasuklah yang terkini secara artistik atau memasukkan elemen lakonan atau menggunakan peralatan tertentu bagi menjadi deklamasi puisi tersebut lebih hidup dan menarik perhatian.
Kaedah-kaedah tersebut sebenarnya bertujuan menjadikan persembahan deklamasi puisi lebih menarik golongan muda meminati atau mendekati sastera tempatan.
Pendekatan menjadi persembahan lebih menarik dengan menggunakan elemen tertentu bukan baharu di luar negara.
Namun di negara ini ada beberapa pihak sudah mula menggunakan kaedah menyuntik elemen tertentu bagi menjadikan persembahan hasil karya sastera lebih menarik terutama kepada golongan muda.
Antaranya sekumpulan penggiat seni mula melakukannya dengan mengangkat karya sastera agung tempatan ke pentas persembahan.
Aktivis seni berkenaan Mariana Samsudin dan kumpulannya baru-baru ini mementaskan teater yang diadaptasi daripada hasil karya Sasterawan Negara (SN) Datuk Seri A Samad Said .

Program Apresiasi A. Samad Said 2025 itu merupakan sebuah program jangkauan seni dan sastera yang bertujuan menghidupkan kembali minat terhadap karya agung Samad , khususnya dalam kalangan generasi muda dan warga universiti.
Mariana berkata, program tersebut dirangka secara kreatif, moden dan inklusif dengan menggabungkan sastera, seni persembahan, seni visual dan wacana intelektual.
“Bertemakan “Naratif Tanpa Sempadan”, program berkenaan menjadikan Universiti Multimedia (MMU) sebagai ruang pertemuan idea, budaya dan generasi serta menghimpunkan menghimpunkan seni sastera, teater dan teknologi digital dalam satu persembahan pentas,” ujarnya.
Mariana berkata, pendekatan tersebut mula difikirkan secara serius beberapa tahun kebelakangan ini apabila pihaknya melihat bahawa karya sastera, khususnya puisi, semakin jauh daripada khalayak umum, terutamanya generasi muda.
Ini kerana puisi sering dilihat sebagai berat, akademik dan sukar difahami jika hanya disampaikan dalam bentuk teks atau bacaan konvensional.
Kata Mariana, melalui persembahan teater, puisi boleh ‘dihidupkan’ suara, tubuh, ruang dan emosi pelakon menjadi medium untuk menyampaikan makna puisi secara lebih dekat dan berlapis.
Maka kata beliau, apabila digabungkan dengan elemen multimedia seperti visual digital, muzik, cahaya dan bunyi, puisi bukan sahaja didengar, tetapi dialami.
Pendekatan tersebut menjadikan sastera lebih inklusif, kontemporari dan relevan dengan cara masyarakat hari ini berinteraksi dengan seni.
Kata beliau lagi, yang juga penerbit dan pengarah program, karya Samad yang digunakan dalam pementasan ialah teater Rumah Kosong.
Skrip pementasannya adalah olahan antologi puisi Benih Harapan karya Samad.
Puisi-puisi tersebut digunakan kerana kekuatan pemikirannya yang merentas zaman, menyentuh soal kemanusiaan, keadilan, cinta, ingatan dan negara.
Karya beliau bersifat universal dan sangat sesuai ditafsir semula dalam bahasa teater dan visual.
Pementasan teater Rumah Kosong diarahkan oleh Iryanda Mulia Ramly, seorang pengarah teater berpengalaman dan peminat kepada karya- karya agung SN.
Pementasan tersebut membuktikan bahawa sastera tidak pernah ketinggalan zaman, hanya medium penyampaiannya perlu berkembang.
Menurut beliau lagi, gabungan puisi, tubuh pelakon dan multimedia membuka dimensi baharu dalam penceritaan pentas.
Persembahan yang diadakan di MMUmelibatkan kira-kira 270 orang, terdiri daripada pelajar pelbagai fakulti (teater, multimedia, animasi, muzik, teknikal), pensyarah dan tenaga akademik, penggiat seni profesional dan pasukan produksi dan teknikal.
“Ia benar-benar menjadi medan pembelajaran silang disiplin, khususnya dalam bidang multimedia dan seni persembahan,” kata Mariana sambil memberitahu segi kos, projek tersebut lebih tinggi berbanding pementasan teater konvensional kerana melibatkan teknologi multimedia dan peralatan teknikal dan tenaga pakar pelbagai disiplin.
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan, khususnya daripada warga kampus dan khalayak muda, ramai yang menyatakan ini kali pertama mereka ‘memahami’ dan ‘merasai’ puisi secara mendalam, bukan sekadar membacanya untuk tujuan akademik,”ujar beliau.
Berdasarkan sambutan yang menggalakkan itu, Mariana melihat ia cara terbaik mengangkat karya sastera ke seni persembahan .
Pendekatan tersebut bukan sesuatu yang asing kerana katanya di luar negara, konsep seperti poetry theatre, multimedia performance dan interdisciplinary theatre telah lama diamalkan menggabungkan sastera dengan seni visual, teknologi dan pergerakan tubuh.
Di Malaysia, pendekatan adaptasi sastera ke pentas juga pernah dilakukan tetapi tidak banyak dan kebanyakannya berskala kecil atau bersifat eksperimental.
Ini disebabkan kekangan kos tetapi kumpulan berkenaan cuba memperluaskan pendekatan tersebut secara lebih sistematik dan besar-besaran, dengan melibatkan kepakaran multimedia, institusi pendidikan dan generasi muda sebagai tenaga kreatif utama.
Namun, pulangannya bukan sekadar persembahan, tetapi pemindahan ilmu, pembangunan bakat dan impak jangka panjang terhadap apresiasi sastera.
Beliau mengakui pendekatan menggunakan elemen multimedia dan tarikan golongan muda kerana ia selari dengan bahasa visual dan teknologi yang mereka gunakan setiap hari.
Antara elemen yang sering dimasukkan adalah visual digital dan unjuran video, reka bentuk cahaya dinamik ,bunyi dan muzik, eksperimental animasi, tipografi bergerak dan visual puisi serta integrasi pergerakan tubuh dengan teknologi.
Elemen-elemen tersebut berfungsi bukan sebagai hiasan, tetapi sebagai alat penceritaan yang unik.
Selepas kejayaan tersebut, Mariana dan kumpulannya meneruskan projek seumpama itu ke Sabah.
Projek seterusnya dirancang untuk dilaksanakan di Sabah, dengan penekanan kepada silang budaya antara Semenanjung dan Borneo.
Projek berkenaan akan menampilkan adaptasi karya karya Samad yang akan dipersembahkan dengan adunan budaya tempatan Sabah, melibatkan tenaga produksi tempatan, pelajar universiti serta penggiat seni negeri.
“Elemen menarik termasuk integrasi budaya visual dan bunyi Sabah, kerjasama silang wilayah dan pendekatan teater kontemporari dan multimedia.
“Harapan kami agar aktivis seni dan sastera terus berani bereksperimen, bekerjasama dan keluar daripada zon selesa tanpa mengorbankan nilai intelektual karya.
“Kepada kerajaan pula, sokongan yang berterusan amat penting, bukan sahaja dari segi dana, tetapi juga kepercayaan bahawa sastera adalah teras pembinaan bangsa,” ujarnya.
Sastera bukan tinggalan masa lalu, tetapi cerminan jiwa negara, maka dengan sokongan semua pihak, martabat sastera tanah air boleh terus diangkat dan diwariskan kepada generasi akan datang.-UTUSAN










