Filem lakonan Aamir Khan diancam boikot - Utusan Malaysia

Filem lakonan Aamir Khan diancam boikot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI: Sejumlah besar peminat filem di India merancang untuk memboikot filem terbaharu Aamir Khan, Sitaare Zameen Par yang bakal ditayangkan Jun ini.

Boikot tersebut berikutan rasa kecewa ramai orang terhadap aktor berkenaan yang dianggap kurang bersikap patriotik kerana melewatkan ucapan tahniahnya kepada tentera India susulan kejayaan operasi Sindoor sepanjang perang India – Pakistan.

Api kemarahan sebilangan besar rakyat India terhadap pelakon itu bertambah marak apabila gambar beliau bersalaman dengan Recep Tayyip Erdogan (Presiden Turki, iaitu negara yang berpihak kepada Pakistan) ketika melawat negara tersebut pada tahun 2017 tular di media sosial.

Rakan industri dan juga pelakon, Suniel Shetty bagaimanapun tampil mempertahankan Aamir yang kini teruk dikecam gara-gara perkara itu.

Kata Suniel, tindakan Aamir merakam foto bersama Erdogan adalah perkara lepas yang tidak sepatutnya diungkit hari ini.

“Lupakanlah perkara lepas. Apa yang berlaku dahulu tidak mencerminkan masa sekarang. Situasi berkaitan negara Turki hari ini tidak sama dengan dulu. Keputusan kita sekarang adalah untuk esok, bukannya kerana masa lampau.

“Kita tidak tahu dengan siapa kita bakal berjumpa atau dirakam bersama ketika hadir ke satu-satu majlis atau acara.

“Tambah pula sekarang ini, kalau anda menolak dirakam (foto) dengan seseorang, anda cepat dilabel biadab. Tapi, pada masa sama, anda juga mudah menjadi sasaran kebencian sekiranya bersetuju untuk mengambil gambar bersama orang-orang tertentu,” jelasnya.

Terdahulu, Konflik dan ketegangan dua negara memuncak apabila tentera India melancarkan serangan peluru berpandu di wilayah pemerintahan Pakistan dekat Jammu dan Kashmir.

India memberi alasan bahawa serangan itu bertujuan memusnahkan kemudahan-kemudahan yang kononnya dibina kumpulan pelampau. Pakistan bagaimana pun menolak dakwan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN