‘Dulu panggil mak ngah, kini sayang’ - Utusan Malaysia

‘Dulu panggil mak ngah, kini sayang’

MOHD. Shaiful Nizam Yeop Mat Isa dan Rapeah Sani melangsungkan persandingan perkahwinan mereka pada Majlis Kenduri Perkahwinan Beramai-ramai melibatkan 25 pasangan di Lenggong, Perak hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Persandingan Mohd. Shaiful Nizam Yeop Mat Isa, 47, dengan Rapeah Sani, 70, menjadi tumpuan dalam Majlis Kenduri Perkahwinan Beramai-ramai melibatkan 25 pasangan di sini hari ini.

Kesemua 25 pasangan itu disandingkan dan diraikan serentak dalam satu majlis peringkat Parlimen Lenggong, bersempena tarikh 25 Mei 2025 yang mempunyai keunikan gabungan nombor.

Ketika ditemu bual pemberita, Mohd. Shaiful Nizam berkata, jodohnya bersama Rapeah bermula apabila dia pulang ke Lenggong dan berjiran dengan Rapeah.

“Saya rasa bersyukur. Ini kali pertama saya berkahwin. Rumah kami dekat, dia selalu masak untuk saya. Saya sebelum ini memanggilnya mak ngah, kini sayang,” katanya kepada pemberita.

Menurut Rapeah pula, perkahwinan itu merupakan kali ketiga buatnya dan menerima ketentuan jodoh meskipun pada awalnya tidak menyangka Mohd. Shaiful Nizam menyimpan hati terhadapnya.

Kesemua pengantin yang disandingkan itu tinggal dalam kawasan Parlimen Lenggong dan penganjuran tersebut turut dilengkapkan dengan amalan tradisi seperti berinai serta akad nikah.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Shamsul Anuar berkata, penganjuran seumpama itu telah diadakan pada tahun-tahun yang lalu dengan hasrat menjadikan ia antara produk pelancongan Lenggong.

Jelasnya, hidangan untuk kenduri ‘mega’ tersebut disediakan secara bergotong-royong melibatkan lebih 10 buah kampung dalam Parlimen Lenggong dengan persiapan telah dilakukan berbulan lalu.

“Ia bagi mengekalkan budaya masyarakat Melayu, ia juga bersesuaian dengan Lenggong sebagai kawasan pelancongan. Malah hidangan makanan yang disediakan adalah mengikut citarasa tradisi tempatan dengan anggaran kehadiran 25,000 orang,” katanya.

Beliau mengharapkan penganjuran akan datang turut melibatkan pasangan kaum-kaum lain di Malaysia termasuk masyarakat Cina, India dan Orang Asli.

Jelasnya, kesemua pengantin bersama keluarga akan menginap di sini serta berpeluang berbulan madu dengan melawati tempat-tempat menarik di Lenggong yang mempunyai pengiktirafan Organisasi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN