Polis Johor percaya serangan terhadap Safiq tiada kaitan insiden lain

Polis Johor percaya serangan terhadap Safiq tiada kaitan insiden lain

M. Kumar beramah mesra ketika Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Peringkat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor percaya serangan terhadap pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim tiada kaitan dengan dua lagi insiden serangan melibatkan pemain bola sepak tanah air sebelum ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh sebelum membuat sebarang kenyataan lanjut.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.

“Apa yang saya nak tegaskan adalah insiden ini tidak ada kena mengena dengan insiden lain. Ini insiden berasingan yang berlaku di Johor, jadi biarlah polis buat siasatan.

“Kita akan menyiasat CCTV berhampiran atau di kawasan sekitar untuk sebarang maklumat. Saya menasihati orang ramai supaya jangan buat sebarang spekulasi mengenai kes ini.

“Mangsa juga memaklumkan dia tidak menerima sebarang ugutan lain sebelum atau selepas kejadian serangan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan polis dibuat Safiq Rahim yang memaklumkan dirinya diserang dua individu tidak dikenali selepas pulang dari latihan di kawasan pusat latihan JDT.

Cermin belakang kenderaannya dipecahkan menggunakan tukul besi oleh dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal, pada pukul 10.05 malam, semalam.

Sementara itu, Kumar turut memberitahu, pihaknya akan meningkatkan tahap keselamatan di Stadium Sultan Ibrahim sempena Piala Sumbangsih antara JDT menentang Selangor, Jumaat ini.

“Untuk perlawanan tersebut, seramai 1,500 pegawai dan anggota polis akan digerakkan untuk mengawal trafik dan juga aspek keselamatan pemain serta ribuan penonton yang bakal hadir.

“Kita akan pastikan keselamatan, itu jaminan Polis Johor. Itu tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan secara undang-undang kepada kita,” jelasnya sambil memberitahu, pergerakan pemain kedua-dua pasukan dari hotel dan lokasi perlawanan akan turut diiringi polis.

Sebelum Safiq, pemain kebangsaan negara yang turut diserang individu tidak bertanggungjawab adalah Faisal Halim yang disimbah asid dan Akhyar Rashid, disamun dan dicederakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN