Insiden serangan pemain bola sepak: PDRM diminta tingkat siap siaga

Insiden serangan pemain bola sepak: PDRM diminta tingkat siap siaga

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta meningkatkan kesiapsiagaan bagi memastikan keamanan dan ketenteraman negara terjamin susulan peningkatan insiden serangan terhadap pemain bola sepak negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, susulan insiden yang menyasarkan pemain bola sepak negara itu, beliau meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi juga saya telah memberikan penerangan dan perkembangan terkini mengenai kejadian serta mengulangi kesediaan polis untuk mengekalkan keadaan keselamatan.

“Kita tidak mahu ada kelompok masyarakat rasa terancam atas apa juga alasan sekali pun,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama 14 syarikat tempatan bernilai RM2.1 bilion membabitkan perolehan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Majlis tersebut diadakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Terdahulu, bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan, Faisal Halim mengalami kecederaan teruk di bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang tadi.

Sementara itu, pada Khamis lalu, pemain sensasi kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu, Terengganu.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain tersebut mengalami kecederaan.

Terbaharu, bekas ketua pasukan bola sepak negara, Safiq Rahim diserang dua lelaki menaiki motosikal sebelum memecahkan cermin belakang kereta dipandunya menggunakan tukul.

Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam semalam ketika Safiq berada di Jalan Sri Gelam menghala ke Pantai Lido, kereta Honda City. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN