Undi popular bukan gambaran menang pilihan raya

Undi popular bukan gambaran menang pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNDI popular tidak menggambarkan keseluruhan sokongan rakyat kepada blok parti politik dalam pilihan raya negeri (PRN).

Walaupun ia popular sekitar keputusan pilihan raya umum 2003, 2008 dan 2013 serta menjadi kunci kepada Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat ketika itu, hakikatnya jumlah populasi pengundi di setiap kerusi ditandingi tidak sama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, jumlah undian terbanyak tidak menjamin kemenangan parti kerana populasi setiap kawasan berbeza.

Katanya, mengambil contoh dalam persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini, Sela­ngor mempunyai 56 kerusi dan mana-mana parti politik memperoleh kerusi terbanyak dikira membentuk kerajaan negeri.

“Misalnya parti A menang 33 kerusi dengan jumlah populasi lebih rendah berbanding parti B memperoleh 23 kerusi dengan jumlah populasi tinggi kerana terdapat beberapa kawasan dalam 23 kerusi tersebut adalah kawasan padat penduduk.

“Parti A tetap berjaya membentuk kerajaan negeri. Maka undi popular tidak menjamin kemenangan DUN untuk membentuk kerajaan negeri. Jumlah kemenangan kerusi me­ngatasi undi popular,” katanya di sini.

Pada PRU15 lalu, Pakatan Harapan (PH) meraih undi popular terbanyak 37 peratus berbanding dua lagi gabungan parti utama, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Sebanyak 5,707,103 undi dikumpul daripada 15,442,007 jumlah pengundi oleh seluruh gabungan PH yang diwakili PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir berkata, kecen­derungan faktor mempe­nga­ruhi undi popular ada kaitan dengan peratusan keluar me­ngundi apatah lagi jika dapat memastikan 2.8 juta pengundi muda berusia 18 hingga 29 tahun turun mengundi.

Katanya, situasi itu juga dapat digambarkan dengan jumlah pengundi baharu yang meliputi 400,000 orang de­ngan Selangor merekodkan sekitar 70,000 orang diikuti Negeri Sembilan seramai 13,000 orang.

Dengan peratusan keluar mengundi pada PRU15 iaitu berjumlah 72 peratus, ia dapat diterjemahkan kesannya terhadap penilaian undi popular. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN