BN kembali dalam kerajaan negeri Pulau Pinang

BN kembali dalam kerajaan negeri Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (tengah); Mohamad Abdul Halim (kanan) dan Jagdeep Singh Deo (kiri) dalam sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah jawatan di Dewan Sri Pinang, George Town, Pulau Pinang, semalam. - Pic IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Rashidi Zinol mengangkat sumpah jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar sekali gus menyaksikan Barisan Nasional (BN) kembali ke dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas 15 tahun.

Walaupun hanya menang dua kerusi, BN diberi peluang menganggotai pentadbiran negeri atas semangat kerjasama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung daripada PKR, Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang manakala ADUN Datok Keramat daripada DAP, Jagdeep Singh Deo dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II.

Mereka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dalam majlis istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan di Dewan Sri Pinang, di sini semalam.

Kombinasi barisan Exco Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang kali ini menampilkan lapan wakil daripada DAP diketuai Kon Yeow; Jagdeep Singh Deo; Zairil Khir Johari; S. Sundarajoo; H’ng Mooi Lye; Lim Siew Khim; Daniel Gooi Zi Sen dan Wong Hon Wai.

Selain mereka, dua wakil daripada PKR yang dilantik pula ialah Mohamad serta Fahmi Zainol.

Barisan Exco kali ini enampilkan tujuh muka baharu dalam pentadbiran kerajaan negeri terdiri daripada Mohamad; Fahmi; S. Sundarajoo; H’ng Mooi Lye; Lim Siew Khim; Daniel Gooi Zi Sen dan Rashidi.

Sementara itu, Lim Siew Khim yang juga ADUN Sungai Pinang menjadi satu-satunya wakil rakyat wanita dalam pentadbiran kerajaan negeri kali ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau dapat memuktamadkan senarai barisan Exco Kerajaan Perpaduan itu selepas mendapat persetujuan daripada pimpinan pusat parti komponen masing-masing.

Jelas beliau, setiap parti dalam gabungan PH-BN mempunyai cabaran masing-masing dalam menentukan wakil yang sesuai di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

”Ada (parti) yang mahu tambah kerusi, ada yang mahu lepas kerusi. Kita buat pertimbangan dengan mengambil kira kedudukan gabungan PH-BN di negeri-negeri lain,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sri Pinang, di sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×