Artis billboard antarabangsa sukar buat konsert di Malaysia

Artis billboard antarabangsa sukar buat konsert di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASCA pandemik menyaksikan kuasa beli pengguna dan permintaan menonton persembahan secara langsung semakin menggila.

Tidak hanya pengguna, malah artis dan penganjur konsert beratur merancang dan menggerakkan konsert jelajah serata dunia. Masing-masing bagai saling ‘membalas dendam’. 

Satu perkara yang perlu difahami ialah konsert tidak hanya berimpak kepada penganjur dan peminat. Konsert tidak hanya sekadar perang tiket, senarai lagu kesukaan atau pengalaman berhibur. 

Namun dalam kanta yang lebih besar ia sebuah mekanisme menghidupkan, melonjak dan memperkaya ekonomi sesebuah tempat. Kedatangan pelancong menjadikan permintaan tinggi dalam sektor perhotelan, penerbangan, makanan, penggunaan infrastruktur awam dan permintaan tempahan e-panggilan.

Taylor Swift, sebuah figura artis papan atas antarabangsa memulakan konsert jelajah dunianya iaitu The Eras Tour bermula Mac tahun ini. Kedatangan Artist of the Year di American Music Awards itu ke Chicago sahaja telah membuatkan bandar itu mencatatkan  permintaan tempahan hotel paling tinggi dalam sejarah sebanyak 96.8 peratus seperti yang dikongsikan organisasi pemasaran bandar itu, Choose Chicago.

Konsert Taylor, atau nama panggilan Taytay di Chicago selama dua hari, awal Jun lalu membuatkan hotel di bandar itu secara puratanya terjual sehingga 44,383 bilik. 

Sebuah data kajian syarikat QuestionPro mendedahkan The Eras Tour berpotensi menjana AS$ 4.6 bilion (RM21.4 bilion) di Amerika Syarikat. 

Oleh itu, kedatangan Taylor ke negara-negara yang dipilihnya untuk konsert jelajah ialah sebuah perkara yang besar. Di asia tenggara, konsert jelajah Taylor itu hanya singgah di Singapura sahaja selama enam hari. Tanpa memberi muka kepada negara-negara jiran lain termasuk Malaysia.

Sedangkan, Stadium Nasional Bukit Jalil boleh menampung kapasiti sebanyak 85,000 pengunjung berbanding Stadium Nasional Singapura yang hanya menampung kapasiti 55,000 penonton. 

Tidak hanya Taylor, malah Singapura juga dianggap menang besar apabila menjadi satu-satunya lokasi pilihan band rock terkenal dunia, Coldplay untuk persembahan konsert jelajah selama enam hari berbanding hanya satu hari di Malaysia. 

Hasil data yang dikongsikan platform pelancongan digital, Agoda kepada Utusan Malaysia turut mendedahkan peningkatan sebanyak 8.7 kali dalam carian untuk penginapan di Singapura sempena siri konsert Coldplay yang dijadualkan pada Januari 2024. Lonjakan ini didorong terutamanya oleh peminat dari negara jiran Malaysia, Indonesia, Filipina dan Brunei.

Tidak hanya Coldplay dan Taylor Swift, baru-baru ini, Suga daripada kumpulan terkenal Korea Selatan BTS turut mengadakan konsert jelajah di Singapura, Bangkok dan Jakarta tanpa memasukkan Malaysia dalam senarai lokasi pilihannya. 

Begitu juga pemenang anugerah Grammy Bruno Mars yang hanya singgah di Seoul dan Manila untuk konsert jelajahnya. 

Ia menimbulkan persoalan penting, di mana silap kita? Adakah kita sedang ‘dipulaukan’ artis papan atas antarabangsa?

RISIKO, PROTES DAN BANTAHAN 

Ada pelbagai faktor yang boleh diperhatikan untuk memahami perkara ini. Jika kita mahukan seseorang artis datang dan mengadakan konsert di negara ini, kita mesti membuat mereka berasa seperti dialu-alukan. 

Namun, beberapa episod bantahan kedatangan artis antarabangsa membuatkan mereka ‘berat hati’ serta penganjur tidak mahu mengambil risiko sekiranya konsert  terpaksa dibatalkan gara-gara protes, berdasarkan peristiwa yang pernah berlaku kepada penyanyi berpengaruh dunia, Beyonce ketika konsert di Kuala Lumpur dibatalkan pada 2007 dan 2009. 

Terkini, kedatangan Coldplay tidak kurang hebatnya yang menerima bantahan daripada segelintir individu dan kelompok masyarakat supaya konsertnya diharamkan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yolo Asia, Ib Harun yang berpengalaman mengadakan konsert dalam dan luar negara berpandangan artis antarabangsa akan berasa tidak selesa untuk mengunjungi sesebuah negara disebabkan ancaman yang timbul.  

“Walaupun parti yang memerintah membenarkan kedatangan mereka, ada beberapa pihak lain yang melihat mereka seolah-olah seperti ‘ancaman’. Perkara ini akan membuat artis  berasa tidak selesa, itu sahaja.

“Ia bukan hanya tentang imej konsert tetapi jenama artis. Contohnya Beyonce, namanya sendiri adalah jenama yang lebih besar berbanding konsertnya,” katanya. 

Penganjur konsert, Rohit Rampal yang juga pengasas Hitman Solutions turut berkongsi pandangan sama. 

Dari kacamata panganjur konsert, mereka akan memilih lokasi dengan risiko yang paling minimum. 

“Berbanding Malaysia, risiko penganjuran konsert di Singapura jauh lebih rendah kerana tiada yang menghalang atau melakukan bantahan. 

“Sebagai penganjur kita akan pergi ke tempat yang dilihat lebih mengalu-alukan dan positif terhadap industri. Kira-kira tujuh tahun lepas, pernah ada sejarah konsert dibatalkan pada hari kedua akibat bantahan. 

“Sekiranya konsert dibatalkan, ia akan mengakibatkan kerugian yang besar dan pihak penganjur tidak mempunyai insuran untuk menanggung kos kerugian,” tambahnya. 

CUKAI RENYAH, TAK MASUK AKAL 

Hasil semakan, penganjur konsert di Malaysia perlu bersedia membayar tiga jenis cukai serta yuran lain iaitu cukai syarikat dan cukai hiburan seperti termaktub dalam cukai pegangan atas pendapatan penghibur awam bukan pemastautin Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

Mereka juga perlu mambayar yuran untuk Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) setiap kali ingin mengadakan konsert. 

Saya sendiri akui Singapura adalah negara yang mudah untuk buat persembahan atau konsert kerana mereka sangat mengalu-alukan kedatangan artis.

“Malah, negara itu tidak mengenakan ‘cukai hiburan’ dalam erti kata sebenar, mereka hanya caj cukai perkhidmatan yang standard,” jelas Ib Harun Lagi.

Begitu juga Rohit yang mendedahkan cukai yang perlu dibayar penganjur konsert di negara ini jauh lebih tinggi berbanding Singapura. 

“Saya rasa cukai Malaysia antara yang tinggi dan tidak masuk akal kerana kita ada tiga cukai yang perlu dibayar. 

“Bagi seorang promoter, lebih baik buat konsert di Singapura kerana cukai di negara itu lebih rendah,” tambahnya.

BELAJAR DARI SINGAPURA 

Sebenarnya, Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi hub pusat pelancongan dan konsert di Asia Tenggara. Lagi pula kita berpengalaman menerima nama-nama besar untuk konsert jelajah seperti Selena Gomez, Blackpink, Billie Eilish dan Michael Jackson. 

Namun begitu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh meneladani Singapore Tourism Board (STB) bagaimana mereka menjaga dan menggunakan nilai perhubungan awam bersama artis papan atas ini. 

Contohnya, pihak STB berkolaborasi dengan artis pop seperti Charlie Puth mempromosikan lokasi menarik seperti Joo Chiat dan Marina Bay dalam klip video muzik. Juga bersama-sama Billie Eilish mempromosikan Cloud Forest di Gardens by the Bay.

“Apabila ramai artis papan atas datang ke Malaysia, kita akan tular. Itu akan menciptakan ‘Public Relation value’ yang harga RM1 bilion pun tak mampu nak beli. Seluruh dunia akan melihat gambar-gambar dan video tentang Malaysia. Itulah yang sedang berlaku di Singapura sekarang. 

“Berbanding Malaysia hari ini, yang banyak dikaitkan dengan persepsi buruk sebagai sebuah negara yang tidak progresif menerima artis antarabangsa,” tambah Rohit. 

Selain itu, sudah masanya kita menambah baik infrastruktur awam, selain kerjasama lebih proaktif daripada MOTAC untuk menerima lebih ramai pelancong luar.

“Malaysia mempunyai potensi besar. Kita memerlukan sedikit keyakinan daripada penganjur kerana sejujurnya pasaran hari ini tidaklah di tahap yang terbaik. 

“Selain itu, kita memerlukan sokongan penyertaan yang lebih daripada MOTAC selain menambah baik capaian infrastruktur seperti pengangkutan awam,” jelas Ib Harun lagi. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya