(ANALISIS) 3 calon Naib Presiden UMNO, undi Johor pecah?

(ANALISIS) 3 calon Naib Presiden UMNO, undi Johor pecah?

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENARAI calon yang bertanding pelbagai jawatan dalam parti terbesar orang Melayu, UMNO sudah diketahui selepas tarikh akhir mengemukakan borang pencalonan ditutup pada 26 Februari lalu.

Namun, yang paling mencuri tumpuan ialah perebutan bagi jawatan nombor tiga, iaitu Naib Presiden UMNO selepas kerusi Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Nyata tiga kekosongan bagi mengisi jawatan tersebut menyaksikan pertandingan enam penjuru, termasuk oleh dua penyandang, iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, namun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Selain Mahdzir dan Mohamed Khaled, calon lain ialah Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan calon tunggal wanita, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Seorang lagi calon, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pula menarik diri pada saat-saat akhir.

AZALINA OTHMAN SAID

Ramai yang meramalkan pertandingan tersebut bakal berlangsung sengit dan setiap calon ada kelebihan masing-masing.

Namun, karakter dan kemampuan calon membantu Presiden dan Timbalan Presiden untuk memulihkan semula UMNO yang sudah dua kali ‘tersungkur’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu pasti menjadi pilihan perwakilan.

Apa pun, kehadiran tiga calon dari Johor, iaitu Mohamed Khaled, Hasni dan Azalina agak mengejutkan ramai, seolah-olah tiada kompromi atau musyawarah antara pucuk pimpinan di peringkat negeri.

Malah sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan turut berminat menyertai pertandingan itu, namun kerana menyedari sudah ada tiga calon dari Johor, beliau membatalkan hasrat tersebut.

Situasi itu bukan sahaja memperlihatkan tiada kompromi antara mereka, malah turut ‘memeningkan’ perwakilan dari 26 bahagian di negeri ini tentang siapa yang bakal mereka pilih nanti. Mereka sudah pastinya mahukan sekurang-kurangnya seorang wakil Naib Presiden dari Johor.

 

MOHAMED KHALED NORDIN

Jika dicongak, ketiga-tiga pemimpin dilihat mempunyai peluang sama rata untuk meraih undi. Mohamed Khaled yang merupakan penyandang jawatan tersebut sudah pasti mempunyai pengikut dan pengaruh tersendiri manakala Hasni dilihat seorang pemimpin yang berwibawa untuk mengukuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) setelah berjaya membawa kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac 2022.

Azalina pula dilihat sebagai tokoh yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang undang-undang. Sebagai calon tunggal wanita, Azalina turut dilihat berpotensi meraih sokongan perwakilan dan mampu mencipta sejarah sebagai wanita pertama dipilih sebagai Naib Presiden UMNO.

Namun, dari satu sudut, kehadiran tiga calon dari Johor boleh memecahkan undi daripada perwakilan berbanding undi dan sokongan penuh sekiranya mempunyai calon tunggal.

Jika undi perwakilan berpecah, tidak mustahil ketiga-tiga calon dari Johor akan ‘gigit jari’ untuk mengisi tiga kerusi bagi jawatan Naib Presiden.

Untuk rekod, UMNO Johor mempunyai 26 bahagian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN