DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas antara kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Kelantan sejak tiga penggal lalu.
Kekuatan BN di kawasan itu bagai sukar digugat meskipun Pas menampilkan tokoh agamawan, Nik Mahadi Nik Hassan dalam usaha merampas kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dan PRU13 lalu apabila tewas di tangan Datuk Md. Alwi Che Ahmad.
Bagaimanapun kedudukan BN di kawasan itu dilihat mulai tergugat apabila gagal mempertahan kerusi Parlimen Ketereh yang merupakan ‘ibu’ kepada DUN Kok Lanas selepas calon mereka, Marzuani Ardila Ariffin tewas kepada Datuk Khlir Mohd. Nor (Pas) dengan majoriti 23,107 undi.
Kekalahan dipercayai berpunca daripada tindakan menggugurkan nama ‘abang besar kawasan’ itu, Tan Sri Annuar Musa yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Ketereh.
Memburukkan lagi keadaan, Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh telah dipecat sebagai ahli gara-gara lantang mengkritik corak pentadbiran parti di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas kalah teruk pada PRU15 lalu.
Pemecatan Annuar itu meletakkan BN berada dalam ‘zon bahaya’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tidak lama tadi.
Hal ini kerana pengaruh ‘figura’ itu masih belum padam dalam kalangan rakyat pengundi di kawasan Ketereh yang dilihat sudah sebati dengan Annuar.
TURUN PADANG
Annuar yang merupakan Presiden Muafakat Nasional (MN) dilihat aktif turun padang menyantuni rakyat di kawasan Ketereh.
Bekas Setiausaha Agung UMNO itu semasa Wacana MN di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) baru-baru ini memberi bayangan parti yang membela Islam dan Melayu akan menjadi nadi perjuangannya dalam arena politik negara.
Ia seolah-olah merujuk kepada parti komponen yang berada di dalam Perikatan Nasional (PN) sama ada Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Jika Annuar beralih menyokong PN, BN pastinya tidak boleh tidur lena sepanjang tempoh berkempen sebaik sahaja gendang PRN dipalu nanti.
Patah kata yang dilemparkan oleh Annuar dilihat masih laku dan boleh mempengaruhi pola pengundi kerana jasanya terhadap rakyat Ketereh masih lagi ‘malar segar’.
Ditambah pula sokongan padu pengundi 18 tahun dan anak muda kepada PN yang dizahirkan pada PRU15 menyukarkan lagi BN mempertahan DUN Kok Lanas.
Jika mahu kekal di DUN Kok Lanas, BN perlu menyusun strategi dan bekerja keras untuk memastikan rakyat terus ‘melekat’ dengan parti itu.
Berpandukan kepada keputusan PRU15, meskipun BN dan Pakatan Harapan sudah bergabung namun ia bukan tugas mudah untuk kekal bertahan di Kok Lanas.- UTUSAN










