Sidang DUN Perlis pertama kali tanpa wakil BN - Utusan Malaysia

Sidang DUN Perlis pertama kali tanpa wakil BN

MOHD. Shukri Ramli mengimbas cap jari pada alat perakam waktu sebagai sombolik memulakan tugas di pejabat Menteri Besar di Kompleks DUN Kangar, Perlis.- FOTO/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013, Mohd. Shukri Ramli menjadi wakil tunggal daripada Pas di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis. Selepas PRU14, Pas berjaya menambah seorang lagi wakil apabila Mohd. Ridzuan Hashim berjaya merampas kerusi DUN Guar Sanji dalam pilihan raya itu.

Siapa sangka daripada pernah menjadi wakil tunggal Pas di DUN sebelum ini, Mohd. Shukri kembali semula ke sidang DUN Perlis penggal ini sebagai Menteri Besar.

Selama ini, Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan negeri boleh dikatakan agak selesa dengan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di dalam dewan. Meskipun pada penggal lalu, BN tewas di peringkat pusat namun parti itu tetap selesa mempunyai 10 wakil di dalam DUN Perlis.

Bagaimanapun, Persidangan Pertama DUN Perlis Ke-15 selama empat hari bermula hari ini sehingga Khamis turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila tidak ada seorang pun wakil daripada BN.

BN tewas di semua 15 kerusi DUN dalam PRU15 sekali gus menamatkan dominasi parti itu di negeri ini sejak lebih 60 tahun.

DUN Perlis kali ini juga me­nyaksikan hanya seorang wakil pembangkang iaitu Gan Ay Ling daripada PKR yang berjaya mengekalkan kerusi DUN Indera Kayangan di sebalik gelombang Perikatan Nasional (PN) yang berjaya merampas 14 kerusi DUN dan semua tiga Parlimen dalam PRU15.

Penggal lalu, PKR atau Pakatan Harapan (PH) mempunyai tiga wakil iaitu Ay Ling (Indera Ka­yangan); Nor Azam Karap (Kuala Perlis) dan Asrul Nizan Abd. Jalil (Sena).

Sidang DUN Perlis juga me­nyaksikan sebanyak 14 wakil rakyat daripada PN masing-ma­sing sembilan daripada Pas dan lima daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sesi sidang DUN Perlis kali ini juga akan menyaksikan kerajaan baharu bakal membentangkan Bajet 2023 yang sudah pastinya dinanti-nantikan oleh rakyat.
Selain itu, kerajaan PN negeri pastinya bakal menjadi tumpuan dan sudah tentunya menggalas tanggungjawab dan amanah cukup besar dalam mentadbir negeri ini buat kali pertama.

Bagaimanapun, barisan Exco dan wakil-wakil rakyat PN perlu cepat belajar dan segera menyesuaikan diri dalam pentadbiran untuk membawa negeri ini ke tahap jauh lebih baik iaitu sesuatu yang cukup diinginkan oleh rak­yat yang memberi kepercayaan kepada PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×