HARI ini, hari terakhir berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sebelum pengundi membuat pilihan siapa wakil rakyat yang mahu dipilih, esok.
Kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Seri Johari Hussain; calon Bebas, Sulaiman Bakar; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Osman A. Bakar; calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Fadzli Mohd. Ramly; dan calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim.

Kawasan ini mempunyai seramai 28,462 pengundi dengan kira-kira 84 peratus adalah Melayu sekali gus menjadi penentu sama ada BN yang tidak pernah kalah di situ dapat mempertahankan DUN Tioman atau tumbang buat kali pertama.
Hakikatnya, siapa sahaja yang menang tidak dapat mengubah apa-apa kerana kerajaan negeri sudah pun dibentuk antara BN dan PH.
Namun, pilihan raya DUN Tioman penting sebagai penanda aras tentang hala tuju politik negeri ini selepas tsunami Melayu pada PRU15, 19 November lalu yang menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan.
CALON
Kini segala-galanya terarah kepada pengundi di DUN Tioman sama ada memilih calon ataupun parti?
Jika calon, difahamkan agak sukar buat BN mempertahakan kerusi ini kerana gelombang penolakan kepada Mohd. Johari jelas disuarakan oleh segenap lapisan pengundi di sini.
Namun, ada suara-suara pengundi menyebut, jika BN menang di sini pun bukan disebabkan calon tetapi kerana faktor parti dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Selain Mohd. Johari, pengundi di DUN Tioman difahamkan tidak berapa ‘suka’ calon wanita ditampilkan oleh PN di situ kerana mereka lebih selesa jika calon lelaki bertanding.
Keputusan akhir kini terletak pada seluruh pengundi DUN Tioman, esok khususnya tentang penerimaan masyarakat Melayu terhadap jajaran politik baharu BN-PH di negeri ini.
Jika BN menang, ia tentunya akan menjadi panduan dan resepi bagi setiap parti politik dalam mencongak percaturan seterusnya bagi berhadapan pilihan raya akan datang termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN).- UTUSAN










