Cuaca sejuk ekstrem di AS: Warga Malaysia diminta berwaspada

Cuaca sejuk ekstrem di AS: Warga Malaysia diminta berwaspada

CANSERI Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC, Amerika Syarikat. - GAMBAR IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC mengeluarkan notis amaran cuaca buruk kepada rakyat Malaysia yang berada di Amerika Syarikat (AS) pada ketika ini.

Ia susulan ribut salji ekstrem yang paling teruk dalam sejarah negara itu melanda kelmarin dan menyaksikan lebih 50 orang maut dan ribuan penerbangan juga terpaksa dibatalkan.

Menerusi nota yang disiarkan laman sosial rasmi pejabat diplomatik Malaysia itu, ia meminta warga Malaysia di kawasan terjejas agar sentiasa berhubung pihak berkuasa tempatan.

“Pihak kedutaan besar turut sedang memantau rapi perkembangan terkini amaran cuaca semasa yang juga mencetuskan situasi sejuk melampau musim Krismas kali ini,” katanya.

Media AS melaporkan ribut salji bukan sahaja mengakibatkan ramai pemandu terkandas di rangkaian lebuh raya utama, malahan lebih 60 juta penduduk terputus bekalan elektrik.

Ketiadaan tenaga itu secara tidak langsung dibimbangi bakal menyebabkan ramai maut ekoran suhu sejuk dalam kediaman mereka sendiri kerana alat pemanas yang tidak berfungsi.

Presiden AS, Joe Biden turut mengisytiharkan bencana Persekutuan di New York serta mengerahkan 200 anggota tentera ke negeri tersebut bagi membantu pihak polis dan bomba.

Hampir 9,000 penerbangan domestik dan juga antarabangsa dibatalkan langsung di seluruh negara itu mengakibatkan ramai penumpang yang terperangkap di terminal udara.

Mengulas lanjut, Kedutaan Besar Malaysia menyarankan supaya warga Malaysia sentiasa mengikuti segala perkembangan semasa mengenai cuaca yang disiarkan pihak berwajib.

“Sekiranya ada berdepan masalah kecemasan dan memerlukan bantuan konsular dengan segera, pihak kedutaan boleh dihubungi terus melalui talian +1 (202) 376 4396,” katanya.

Konsulat Jeneral Malaysia di New York juga boleh dhubungi menerusi talian +1 (917) 319 0381 manakala pejabat konsulat di Los Angeles pula melalui talian +1 (213) 892 1238.

Cuaca ekstrem itu dipercayai akibat luruan bayu dingin Artik dari Kutub Utara menuju ke hemisfera utara dan turut memberi impak sejuk kepada banyak negara termasuk Jepun.

Dianggarkan terdapat lebih 70,000 warga Malaysia yang berada di seluruh AS sama ada bekerja dengan pelbagai firma atau masih lagi belajar di ratusan institusi pengajian tinggi.

Jumlah berkenaan tidak termasuk hampir 40,000 individu yang menjadi penduduk tetap AS dan membentuk diaspora Malaysia dengan sebahagian besarnya tinggal di New York.

Kebanyakan mereka berhijrah ke negara itu sejak awal 1960-an dan mewujudkan banyak persatuan tersendiri antaranya Malaysian American Society yang ditubuhkan pada 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya