PRU15 : Bulan lebih 'terang' di Kelantan

PRU15 : Bulan lebih ‘terang’ di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pas dijangka terus kekal sebagai parti dominan yang menguasai kerusi Parlimen di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Jangkaan itu tampak ada asasnya apabila beberapa kawasan dilihat akan terus kekal menjadi ‘kubu’ kuat bulan walaupun terdapat parti lain yang bertanding seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Tanah Air (GTA), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.

Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut dua sahaja kawasan dijangka berlaku pertembungan sengit iaitu Tumpat dan Kota Bharu.

Sungguhpun begitu, politik Kelantan disifatkan cukup dinamik apabila ia lebih kepada pertembungan antara dua parti ‘otai’ iaitu Pas dan BN. Kehadiran parti lain seperti PH, GTA, PRM dan Bebas dilihat lebih bersifat ‘pengacau’ untuk ‘melarikan’ undi.

Namun, kehadiran PH buat julung kalinya pada PRU14 lalu telah berjaya mengugat undian terhadap Pas dan BN di beberapa kawasan Parlimen di negeri ini.

Malah dua kawasan Parlimen yang ditandingi PH menggunakan logo PKR pada PRU15 iaitu Kota Bharu dan Kubang Kerian tidak hilang wang deposit sekali gus menunjukkan kehadiran mereka tidak boleh dipandang enteng oleh bulan serta dacing.

PRU15 kali ini, Pas dijangka mendominasi namun jumlah majoriti bulan dijangka mengalami penurunan di beberapa kawasan selepas BN dan PH mempertaruhkan muka baharu serta ‘figura’ besar dalam usaha mengurangkan dominasi bulan.

Antara muka baharu yang ditampilkan oleh BN ialah Dr. Mohd. Hafiezulniezam Mohd. Hasdin(Pengkalan Chepa), Datuk Ab Ghani Harun (Pasir Mas), Zulkarnain Yusoff (Rantau Panjang), Marzuani Ardila Ariffin(Ketereh) dan Norwahida Patuan(Jeli).

Sementara Pas pula Mohd. Syahir Che Sulaiman (Bachok), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd. Nor (Ketereh) dan Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang).

PH mula membuat kejutan apabila menamakan ‘figura’ mereka iaitu Datuk Husam Musa untuk bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas. Menariknya Husam yang juga Ketua Amanah Kota Bharu bertanding atas tiket PKR komponen dalam PH.

Dinamika politik di Serambi Mekah ini berbeza, mereka lebih dominan memilih parti berbanding batang tubuh walaupun jelas telah terbukti menabur jasa dan bakti kepada mereka. Hal ini kerana mereka beranggapan simbol itu lebih penting daripada batang tubuh.

Kerusi Parlimen Kota Bharu bakal menjadi ‘tumpuan’ apabila penyandangnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan bakal ‘digasak’ doktor perubatan dan tokoh bola sepak. Doktor yang dimaksudkan itu ialah Ketua Wanita Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) negeri Hafidzah Mustakim daripada (PH dan Datuk Rosmadi Ismail (BN), Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menang dengan mojoriti 5,869 undi, Takiyuddin dilihat tidak boleh berada dalam ‘zon selesa’ kerana dua calon iaitu Rosmadi dan Dr. Hafidzah dilihat sudah ‘ligat’ turun padang mendekati pengundi.

Menarikya kempen yang digunakan oleh Rosmadi menerusi aplikasi Tiktok mula sohor kini apabila salah satu videonya sudah mencecah lebih 2.6 juta tontonan. Kali ini, Takiyuddin Hassan, akan berdepan saingan daripada Rosmadi (BN), Dr. Hafidzah (PH), Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar (GTA), Andy Tan (PRM) dan Bebas Izat Bukhari Ismail Bukhari

Keputusan penyandang kerusi Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang sebelum ini bertanding atas simbol bulan ke dacing ‘menghangatkan’ lagi suhu politik di Kelantan. Che Abdullah menegaskan beliau membuat keputusan bertanding menggunakan tiket BN pada PRU15 bertujuan menebus semula maruahnya selepas difitnah dengan teruk semasa pemilihan Pas sebelum ini.

Katanya, beliau tidak mempunyai masalah jika tidak dicalonkan oleh Pas namun fitnah secara berleluasa ke atas dirinya tanpa ‘kawalan’ daripada parti membuatkannya mengambil keputusan bertanding menggunakan tiket dacing. Situasi itu menghadirkan ‘gerun’ buat Pas sehingga terpaksa membawa Prsiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Panglima Perang mereka Datuk Mohd. Nassuruddin Daud untuk berceramah.

Pada PRU14, Che Abdullah menewaskan calon BN dan PKR dengan majoriti 17,500 undi. Che Abdullah mendapat undi sebanyak 47,041 manakala Datuk Wan Johani Wan Hussin (BN) memperoleh 29,541 undi dan Datuk Nordin Salleh (PKR) hitang deposit selepas meraih 10,003 undi.

Pada PRU15 19 November ini, Che Abdullah bakal ditentang calon Pas, Datuk Mumtaz Md. Nawi; Che Muhammad Aseri Che Ali (GTA), Wan Johari Wan Omar (PH) dan Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan).

Lain-lain kawasan, BN dijangka tidak berdepan cabaran untuk mempertahankan kerusi mereka di Jeli dan Ketereh walaupun menampil muka baharu. Di Ketereh, Marzuani Ardila sudah mendapat restu penuh daripada penyandang kerusi berkenaan yang tidak tercalon pada PRU15 iaitu Tan Sri Annuar Musa.

Begitu juga dengan Jeli, ketiadaan Datuk Seri Mustapa Mohamed dijangka memberi laluan mudah buat Wahida untuk meneruskan legasi BN di kawasan berkenaan. Reputasi Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Tengku Razaleigh Hamzah yang sering turun padang dan bertemu dengan rakyat menyaksikan ‘figura’ ini tidak berdepan masalah untuk menang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×