Pembantu tadbir hospital didenda RM8,000 terlibat dalam perniagaan - Utusan Malaysia

Pembantu tadbir hospital didenda RM8,000 terlibat dalam perniagaan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir sebuah hospital kerajaan didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pilihan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran ketika masih berkhidmat sebagai penjawat awam.

Hakim Azura Alwi turut memerintahkan Suzana Murni Mansor, 53, dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda. Wanita itu kemudian menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku pemilik Syarikat Fana Global Resources didakwa telah mengambil bahagian dalam perniagaan iaitu membekal dan menghantar sarung kaki bernilai RM44,500 kepada kakitangan hospital tempatnya bertugas.

Suzana Murni selaku pegawai badan awam iaitu Pembantu Tadbir Gred N22 di Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu di hospital itu, terikat di sisi undang undang supaya tidak mengambil bahagian dalam perniagaan.

Ia diperuntukkan di bawah Peraturan 4(1), Jadual Kedua, Bahagian II Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu hospital itu di sini pada Disember 2016.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Seksyen itu bermaksud mana-mana penjawat awam tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam perniagaan.

“Kamu lama dalam perkhidmatan ini (dalam kerajaan), dan saya lihat rekod pun cemerlang, namun akibat kesalahan yang dilakukan, kamu terpaksa menanggungnya dan menjejaskan pekerjaan kamu,” demikian kata hakim berkenaan ketika menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Terdahulu, Suzana Murni yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan mempunyai tanggungan seperti pinjaman perumahan selain dua anak yang masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli bersama Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Aliff Shaharuzaman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

“Hukuman yang setimpal itu bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada penjawat awam lain agar tidak melakukan kesalahan sama,” kata Noryusriza. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.