Inisiatif Sempadan Hijau dan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini: Langkah mengiktiraf khazanah warisan hutan negara - Utusan Malaysia

Inisiatif Sempadan Hijau dan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini: Langkah mengiktiraf khazanah warisan hutan negara

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inisiatif Sempadan Hijau dan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini oleh Kerajaan Negeri Pahang bukan sahaja bagi mengiktiraf hutan sebagai khazanah warisan negara malah untuk meningkatkan kawasan hutan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu adalah satu bukti komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memelihara dan memulihara alam sekitar di negeri berkenaan.

“Secara tidak langsung, ia dapat memperbetul persepsi negatif terhadap pengurusan kepelbagaian biologi di peringkat negeri.

“Inisiatif Sempadan Hijau ini menyokong komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah dilitupi kawasan berhutan dan pokok-pokok seperti dipersetujui dalam Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janerio dan Persidangan Parti Ke-15 Kerangka Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini berkata, kerajaan Negeri akan mengambil tindakan segera bagi merealisasikan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri Pahang dan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini termasuk ke arah mewartakan sebahagian besar kawasan sempadan negeri sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, pihaknya menyambut inisiatif itu dan ia adalah selari dengan Dasar Perhutanan Malaysia untuk mengiktiraf hutan sebagai khazanah warisan negara serta memenuhi ketetapan oleh Majlis Tanah Negara supaya Kerajaan Negeri meningkatkan kawasan berhutan.

Katanya, laporan di pelbagai media termasuk media sosial banyak memberikan gambaran yang tidak tepat berhubung pengurusan hutan dan kepelbagaian biologi di Malaysia, ia membimbangkan jika tidak ditangani sebaik mungkin.

“Kawasan-kawasan yang akan diwartakan sebagai HSK di bawah inisiatif ini akan dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan seperti yang diperuntukkan Akta Perhutanan Negara 1984 dengan ia akan disenaraikan sebagai Kawasan Larangan Memburu,” katanya,

Beliau berkata,  kebanyakan HSK sedia ada di Negeri Pahang telahpun disenaraikan sebagai Kawasan Larangan Memburu dan bukan sahaja memberi perlindungan kepada Harimau Malaya tetapi mampu memberi perlindungan habitat kepada semua spesies hidupan liar dan menjamin keseimbangan ekosistem. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya