Sel stem air ketuban sebagai alat ganti - Utusan Malaysia

Sel stem air ketuban sebagai alat ganti

Air ketuban berpotensi sebagai sumber sel untuk menghasilkan sel stem saraf bagi pemindahan neuro.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu mengenai sel stem pernah dibangkitkan satu ketika dahulu. Ada yang keliru mengenainya sama ada dihasilkan daripada haiwan atau tumbuhan.

Secara am, sel stem atau sel puncak atau sel tunjang adalah sel induk atau sel asas dalam badan.

Setiap peringkat pertumbuhan badan manusia dan haiwan mempunyai pelbagai jenis sel stem.

Pada peringkat awal perkembangan janin, sel stem bertindak sebagai sumber sel untuk pertumbuhan dan pembentukan organ dalam badan.

Setelah dilahirkan, dari peringkat bayi sehinggalah dewasa, badan mempunyai pelbagai jenis sel stem lebih khusus bergantung pada jenis tisu dan organ seperti sel stem saraf, sel stem darah, sel stem mesenkima dan sebaginya. Ia berfungsi lebih kepada sebagai alat ganti atau pembaikpulih sel yang rosak atau mati.

Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Norshariza Nordin.

Menyedari kepentingan sel stem dalam proses rawatan, pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Norshariza Nordin menjalankan kajian mengenai sel stem embrionik menci, sel stem air ketuban tikus dan manusia.

“Kajian saya memfokuskan kepada perkembangan sel saraf yang khusus untuk kegunaan dalam terapi penggantian sel dan penghasilan sel saraf daripada sel stem.

“Ia untuk dijadikan model in vitro dalam kajian pencirian herba sebagai agen neuroprotektif dan neuroregeneratif,” ujarnya.

Bagi kajian terapi penggantian sel, ia memfokuskan kepada penghasilan sel stem saraf secara pembezaan trans daripada air ketuban manusia dan tikus.

Sel stem saraf merupakan sel puncak atau sel asas terdapat dalam otak manusia dan haiwan yang berupaya menjadi pelbagai sel saraf matang.

Namun, sel stem saraf di dalam badan biasanya berada dalam keadaan tidak aktif dan ia juga sukar untuk dipencilkan daripada badan sekiranya propagasi sel in vitro perlu dilakukan untuk tujuan pemindahan.

Lantaran itu, penghasilan sel stem saraf daripada sumber bukan otak adalah perlu.

Dr. Norshariza berkata, berdasarkan masalah tersebut, kumpulan penyelidikannya mengambil inisiatif menghasilkan sel stem saraf daripada air ketuban.

Ini kerana air ketuban berpotensi sebagai sumber sel untuk menghasilkan sel stem saraf bagi pemindahan neuro.

Prof. Madya Dr. Norshariza Nordin menjalankan kajian mengenai sel stem embrionik menci, sel stem air ketuban tikus dan manusia.

“Saya juga menjalankan kajian untuk mengetahui khasiat pegaga sebagai agen neuroregeneratif. Dalam kajian ini, pencirian khasiat pegaga dijalankan dengan menggunakan sel saraf daripada sel stem sebagai model,” ujarnya.

Dengan menggunakan sel stem embrionik dan air ketuban, kumpulannya berjaya menghasilkan pelbagai jenis sel saraf.

Yang lebih penting kata beliau, kajian itu melibatkan pecirian herba dengan menggunakan sel saraf daripada sel stem embrionik dan air ketuban sebagai model penyakit in vitro (dalam makmal).

“Dengan menggunakan sel stem, kumpulan saya berjaya menghasilkan model in vitro untuk penyakit neurodegenerative,” katanya.

Kajian terkini beliau ialah menggunakan kaedah pembezaan trans bagi menghasilkan sel stem saraf daripada sumber bukan sel otak iaitu air ketuban daripada manusia dan tikus.

Kajian tersebut sejak 2003 sehingga sekarang menggunakan dana Kementerian Pengajian Tinggi dan UPM mempunyai banyak objektif.

Setiap dana diperoleh digunakan untuk mencapai objektif tertentu.

Bagi kajian melibatkan air ketuban, dana diperoleh daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan UPM. Ia siap pada 2019.

Selain itu, dana juga diperoleh daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi kajian pegaga sebagai ejen neuroregeneratif yang tamat pada 2018.

Meskipun penyelidikan itu telah tamat, namun masih diteruskan bagi menjawab persoalan penyelidikan yang timbul daripada penyelidikan lalu.

Kajian tersebut yang melibatkan Prof. Madya Dr Ling King Hwa (UPM), Prof. Madya Dr. Zurina Hassan (USM) dan Prof. Dr. Rozita Rosli (UPM) menunjukkan pegaga mempunyai keupayaan yang tinggi sebagai agen neuroregeneratif.

Namun kajian lebih mendalam diperlukan bagi menentukan keberkesanan pegaga sebagai agen yang boleh memulihkan sel saraf yang rosak akibat tekanan oksidatif .

Dalam pada itu, Dr. Norshariza berkata, penyelidikan itu turut melibatkan Dr. John Mason dari Edinburgh University dan Prof. Madya Dr. Ling King Hwa dari UPM dan ramai lagi untuk projek melibatkan sel stem air ketuban gestasi penuh manusia .

Hasil kajian menunjukkan kewujudan sel stem di dalam air ketuban gestasi yang dikumpulkan daripada manusia.

Sel stem ini mempunyai keupayaan membeza yang tinggi. Ia juga berpotensi menghasilkan sel stem saraf dan juga beberapa jenis sel lain seperti sel saraf matang, sel lemak, sel rawan dan sel tulang.

Banyak kajian yang perlu dijalankan bagi menentukan kesahihan dan keupayaan sel ini sebagai sumber sel yang berkualiti untuk rawatan dan terapi penggantian sel.

Perkembangan penyelidikan global
PADA peringkat global, sel stem bukan sahaja digunakan untuk rawatan malah amat berguna untuk penemuan dan penyaringan ubat-ubatan

Ia turut digunakan untuk terapi tanpa sel (cell-free therapy) dengan memfokuskan pada penghasilan molekul terapeutik menggunakan eksosom daripada sel stem.

Kaedah ini mempunyai kebaikan dari segi rawatan tidak melibatkan pemindahan sel stem ke dalam badan. Ia hanya melibatkan molekul terapeutik yang terkandung di dalam eksosom yang dirembeskan oleh sel stem ke dalam media kultur.

Selain itu, banyak sel stem digunakan dalam terapi penggantian sel di beberapa negara untuk merawat beberapa jenis penyakit antaranya leukemia. Namun, masih banyak yang masih di peringkat percubaan klinikal

Contohnya untuk penyakit jantung sklerosis berbilang, kanser payudara, osteoartritis, diabetes dan lain lain.

Penggunaan sel stem dalam terapi penggantian sel mempunyai kelebihan berbanding pemindahan konvensional kerana ia tidak memerlukan organ penderma.

Sel stem boleh didapati daripada pesakit sendiri iaitu sel stem pesakit akan dibiakkan di dalam makmal sebelum dibezakan kepada sel yang dikehendaki.

Secara teori, terapi sel stem dapat mengurangkan masalah kekurangan penderma yang kini menjadi masalah utama dalam pemindahan konvensional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×