Dipulau rakan sekerja

Dipulau rakan sekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN

BARU-BARU ini berlaku konflik di tempat kerja, rakan-rakan mula meminggirkan dan memulaukan saya tanpa sebab. Keadaan ini menyebabkan saya tidak selesa dan berfikir untuk berhenti kerja. Wajarkah saya memilih berhenti? Apa tips untuk saya berhadapan dengan orang sebegini? CIK DILEMA 

 

JAWAPAN 

Konflik tempat kerja sering menjadi isu hangat dalam kalangan pekerja. Konflik ini tetap wujud dalam pelbagai cara tak kira dalam jua sektor sekalipun, tidak semua indah pada pandangan mata. 

Begitulah lumrah dan adat dalam dunia pekerjaan terutamanya bagi mereka yang baru sahaja memasuki dunia pekerjaan. 

Pelbagai cabaran hadir perlu dihadapi dengan tenang. Sebelum membuat keputusan berhenti, ada beberapa langkah yang boleh anda pertimbangkan: 

 

a)Kekal profesional Sentiasa berpegang pada etika kerja, walaupun rakan sekerja tidak mesra. Fokus pada tugas dan tanggungjawab, tetapi elakkan terlibat dengan gosip. Tindakan profesional akan menunjukkan kematangan dan kecekapan anda. 

b)Kenal pasti punca konflik – Cuba memahami punca sebenar mengapa anda dipinggirkan? Mungkin ada salah faham atau isu yang anda tidak sedar sepanjang keberadaan anda ditempat kerja. 

c)Komunikasi terbuka – Sekiranya kesalahan bukan daripada anda, ambil masa sesuai untuk mendekati rakan sekerja untuk berbual secara terbuka tentang perasaan anda. Kadangkala, masalah boleh diselesaikan dengan komunikasi yang baik. 

d)Tetapkan had – Jika rakan sekerja melakukan sesuatu yang tidak wajar atau melanggar batasan, anda berhak menetapkan had dan jika perlu, laporkan perkara tersebut kepada pihak atasan.

e)Bertemu kaunselor – Jika masalah dihadapi berterusan dan menjejaskan prestasi kerja, berjumpa kaunselor atau bahagian sumber manusia untuk berbincang. Mungkin terdapat idea yang boleh memberi panduan atau menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah ini.

f)Fokus buat kerja – Walaupun persekitaran terasa sukar, cuba beri perhatian kepada kerja anda. Kadangkala dengan menunjukkan semangat dan dedikasi terhadap kerja yang baik boleh mengubah persepsi rakan sekeja terhadap anda. 

g)Pertimbangan pilihan anda – Jika masalah masih berlarutan dan memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental, barulah anda boleh mempertimbangkan untuk mencari peluang lain. 

Pastinya anda menjaga kesejahteraan diri dan pertimbangkan semua pilihan sebelum membuat keputusan besar untuk masa depan anda. 

Usaha lakukan yang terbaik dalam pekerjaan, mudahan prestasi ditunjukkan akan mengubah pandangan rakan sekerja atau memberikan anda peluang lebih baik untuk anda di tempat lain kelak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×