Khairul Kamarudin dinobat CEO Terbaik 2024 oleh GIFA

Khairul Kamarudin dinobat CEO Terbaik 2024 oleh GIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat), Khairul Kamarudin telah memenangi anugerah berprestij CEO Terbaik 2024 oleh Global Islamic Finance Awards (GIFA).

Menurut kenyataan, pengiktirafan itu merupakan bukti kepimpinannya yang cemerlang dalam membawa Bank Muamalat muncul sebagai pemain utama dalam sektor kewangan Islam.

“Anugerah tersebut disampaikan semasa Majlis Anugerah GIFA Tahunan ke-14, yang diadakan di Republik Maldives yang turut menganjurkan Sidang Kemuncak Kewangan Islam Global (GIFS),” katanya.

Anugerah GIFA menjadi standard tertinggi kecemerlangan dalam kewangan Islam, yang mengiktiraf individu dan institusi yang mendorong inovasi dan kemajuan dalam industri ini.

Kemenangan Khairul diperoleh selepas melalui proses pemilihan yang ketat, di mana beliau menonjol dalam kalangan pemimpin industri global yang terkenal kerana pendekatannya yang berwawasan, kepimpinan strategik, dan komitmen teguh terhadap prinsip-prinsip kewangan Islam.

Bank Muamalat meneruskan perjalanan kecemerlangannya di bawah kepimpinan Khairul, sekali gus mengukuhkan lagi peranannya dalam landskap perbankan Islam.

Pengiktirafan beliau di Anugerah GIFA mencerminkan komitmen berterusan bank terhadap inovasi, perkhidmatan pelanggan, dan pembangunan penyelesaian kewangan patuh Syariah.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata, anugerah itu merupakan satu penghormatan untuk menerima pengiktirafan ini daripada jawatankuasa GIFA.

“Saya sangat berbangga dengan kemajuan dan momentum yang telah kami bina selama ini.

“Bank Muamalat telah berubah menjadi sebuah bank Islam yang lebih kukuh dan berdaya tahan, menjadi rakan sejati kepada pelanggan kami dalam setiap aspek.

“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada ahli Lembaga Pengarah kami atas nasihat bijaksana dan pandangan mereka, yang telah menjadi kunci dalam perjalanan ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kami yang berdedikasi, yang semangat dan kerja keras mereka yang luar biasa memacu kejayaan kami setiap hari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×