SERDANG: Anak ayam berwarna-warni menarik perhatian pengunjung cilik sehingga mampu meraih RM 5,000 sehari pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
Penjual anak ayam warna warni, Muhammad Ifwat Md Ridzuan, 21, berkata, pengunjung cilik ramai yang meminati untuk membela anak ayam berwarna warni ini.
Menurutnya, pengunjung akan membeli lebih seekor untuk dibawa pulang.
“Harga anak ayam tersebut RM7 sahaja dan terdapat promosi ketika ini, bagi sesiapa yang membeli tiga ekor hanya perlu membayar RM20.
“Kami mempunyai dua reruai yang mana mampu meraih (jualan) sebanyak RM 5,000 sehari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, tular sebuah video video berkaitan ‘penyeksaan haiwan secara terbuka di MAHA 2024’ yang dimuat naik pada 13 September 2024 oleh individu yang dipercayai seorang pengamal veterinar berdaftar melalui hantaran video di platform TikTok miliknya.
Namun, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan anak-anak ayam berwarna-warni yang dipamerkan sempena MAHA 2024 berada keadaan yang baik dan tidak menunjukkan tanda-tanda sakit atau penderitaan.
Mengulas mengenai dakwaan tersebut, Muhammad Ifwat berkata, selepas tular video tersebut jualan anak ayam berwarna warni tetap sama dan ramai pengunjung yang hadir untuk membeli.
MAHA 2024 sedang berlangsung sempena 100 kali penganjurannya yang hanya berbaki sehari sebelum penutup pada 22 September ini.
MAHA 2024 bertemakan Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan merupakan pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara yang menyediakan lebih 2,000 ruang jualan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam. – UTUSAN










