Perkenalkan skim kawalan harga bulan Ramadan - Utusan Malaysia

Perkenalkan skim kawalan harga bulan Ramadan

MOHAMAD YUSRIZAL YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mencadangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memperkenalkan skim kawalan harga sepanjang Ramadan bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang yang melampau.

Setiausaha Kehormatnya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kementerian itu perlu memandang serius perkara tersebut kerana masalah kenaikan harga barang terutama bahan mentah berlaku setiap kali Ramadan.

Menurutnya, Cake sudah lama mencadangkan perkara itu sebagai salah satu langkah mengatasi isu kenaikan harga pada setiap Ramadan.

“Pada setiap musim perayaan ada skim kawalan harga dan skim yang sama juga perlu diadakan pada Ramadan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai harga barang di seluruh
negara yang naik melonjak ketika umat Islam menjalani ibadat puasa.

Mohamad Yusrizal berkata, kenaikan harga barangan tersebut mendatangkan kesan kepada pengguna termasuk peniaga apatah lagi dengan situasi ekonomi masing-masing yang masih terjejas akibat Covid-19.

“Tanpa skim kawalan harga ini, Cake percaya harga barang akan terus naik dan tindakan penguatkuasaan ke atas pihak terlibat sukar dilaksana,” katanya.

Tambahnya, hasil pemantauan Cake di Alor Setar kelmarin turut mendapati berlaku kenaikan harga barang yang ketara pada barang basah seperti ikan, daging, ayam dan sayur-sayuran.

“Di Alor Setar, kita mendapati harga barang mentah utama seperti ikan, ayam dan daging naik daripada lapan hingga 10 peratus. Ikan kembung contohnya naik sehingga RM8 sekilogram sedangkan saya lihat stok ikan banyak.

“Cake menjangkakan harga ayam juga akan naik sehingga RM9.50 sekilogram jika harganya masih tidak dikawal dengan harga siling. Bagi orang Kedah kenaikan ini keterlaluan dan membebankan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×