BN2.0 perlu bersandarkan realiti politik semasa - Utusan Malaysia

BN2.0 perlu bersandarkan realiti politik semasa

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembentukan gabungan politik baharu dan utuh seperti Barisan Nasional 2.0 (BN 2.0) yang disertai UMNO, PKR dan DAP memerlukan prinsip persetujuan secara bersama antara parti politik.

Ini kerana hal itu tidak semudah meletakkan parti politik berganding dalam suatu pakatan jika tiada kesefahaman dalam kalangan pucuk pimpinan parti dan akar umbi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil, mengakui idea pembentukan gabungan berkenaan menarik bagaimanapun, semua pihak harus bersandarkan realiti yang berlaku dalam arena politik negara.

“Kalau kita lihat Pakatan Rakyat dahulu, yang sebelum ini merupakan barisan alternatif pembangkang, kemudian kepada Pakatan Harapan (PH), yang menjadi formula untuk gabungan ini mampu bertahan adalah kerana kejujuran antara pemimpin parti.

“Ia mestilah berasaskan kepercayaan dan apa yang diperjuangkan. Bukan setakat hanya mampu berkata-kata gah, tetapi dari segi tindakan ia berbeza. Itu mesti jelas,” katanya di sini semalam.

Cadangan itu hadir selepas pertimbangan BN sudah tidak seperti zaman kegemilangannya dalam tempoh beberapa dekad ini apabila struktur kekuatannya dilihat semakin rapuh dengan MIC yang dilihat berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR), Datuk Johari Abdul berkata, PKR terbuka untuk bersama parti lain termasuk UMNO dalam menerajui negara jika semua pihak meletakkan matlamat gerakan reformasi sebagai keutamaan.

Kastanya, reformasi yang disebut mencakupi semua aspek termasuk perundangan, institusi parlimen, ekonomi dan pembangunan negara.

“Jika tidak, sukar untuk parti politik bekerjasama disebabkan tiada persamaan untuk memastikan negara diurus tadbir dengan baik.

“Kita mesti ada keyakinan bahawa reformasi harus berlaku dalam negara kerana kita sudah ketinggalan jauh berbanding negara lain seperti Singapura dan Vietnam dari sudut inovasi, ekonomi dan pendidikan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×