BEIRUT: Sekurang-kurangnya 20 terbunuh dan lebih 450 yang lain cedera akibat gelombang kedua letupan daripada peranti komunikasi tanpa wayar di Lubnan.
Dalam kejadian semalam, walkie-talkie yang digunakan Hezbollah meletup di kawasan pinggir selatan Beirut, di Lembah Bekaa dan selatan Lubnan, kawasan yang dianggap kubu kuat kumpulan itu.
Beberapa letupan berlaku semasa pengebumian mangsa yang terbunuh dalam letupan alat kelui, kelmarin.
Serangan terbaharu berlaku ketika Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengumumkan fasa baharu dalam perang dan pemindahan pasukan tentera elit ke utara sempadan dengan Lubnan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran risiko serius terhadap peningkatan dramatik dan menggesa semua pihak mengadakan sekatan maksimum.
“Jelas sekali logik di sebalik letupan semua peranti ini adalah untuk melakukan serangan awal sebelum operasi ketenteraan besar,” katanya.
Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai konflik terbesar selepas 11 bulan pertempuran rentas sempadan, yang dicetuskan daripada perang Israel dan pejuang Hamas di Gaza.
Pejabat media Hezbollah mengumumkan kematian 13 pejuang, termasuk seorang remaja lelaki 16 tahun, sejak gelombang kedua letupan.
Kumpulan itu mengesahkan turut menyerang tentera Israel berhampiran sempadan dan di Bukit Golan, termasuk menembak roket ke kedudukan artileri pasukan rejim.
Tentera Israel pula mendakwa, 30 peluru melintasi langit Lubnan semalam, mencetuskan kebakaran namun tidak mengakibatkan kecederaan.- BBC










