Pengerusi pusat pengajian agama cabul remaja perempuan

Pengerusi pusat pengajian agama cabul remaja perempuan

MOHD. Hafidz Eshak dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas tuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di Port Dickson. –UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pengerusi sebuah pusat pengajian agama swasta di Port Dickson dihadap­kan ke Mahkamah Sesyen Se­remban semalam atas tiga pertuduhan mencabul atau melakukan amang sek­sual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd. Hafidz Eshak, 44, membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.

Bagi pertuduhan pertama, ter­tuduh yang diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan dan Nur Haifa Husna Zuhaimi didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan pada ketika itu ber­usia 13 tahun sembilan bulan.

Perbuatan itu didakwa dila­kukan di sebuah rumah di Ban­dar Dataran Segar, Port Dickson, lebih kurang pukul 3.30 petang pada awal sehingga hujung Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd. Hafidz juga didakwa me­lakukan amang seksual ter­ha­dap remaja yang sama pada wak­tu lebih kurang pukul 11 malam, awal bulan sehingga hujung bulan Jun yang lalu di sebuah pusat pengajian agama di Jalan Seremban, Port Dickson.

Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa melalukan amang seksual fizikal juga terhadap remaja yang sama yang pada ketika itu sudah berusia 14 tahun di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Port Dickson, lebih kurang pukul 3 petang pada 28 Ogos yang lalu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Sek­syen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawaj Seksyen 14 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi dan Noraziha Asmuni.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin seba­nyak RM12,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang pen­jamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserah­kan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi.

Mohamad Kamil kemudian menetapkan tarikh 29 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan perubatan.

Terdahulu dalam prosiding tersebut, Hanif memaklumkan penahanan anak guamnya itu tiada kaitan dengan isu membabitkan syarikat GISB Holding Sdn. Bhd. (GISBH) yang heboh dilaporkan media ketika ini.

Pada pagi tadi di Mahkamah Majistret Port Dickson, tertuduh yang sama turut berdepan pertuduhan mencabul seorang gu­ru praktikal pada bulan lalu di sebuah pusat pengajian agama do Port Dickson. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×