PETALING JAYA: Bursa Malaysia turun 3.69 mata kepada 1,660.59 pada pukul 5 petang hari ini, berbanding 1,664.28 pada penutup Selasa.
Indeks dibuka tinggi pada 1,664.33.
Jumlah dagangan sebanyak 2.30 bilion unit bernilai RM2.75 bilion.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 526 berbanding 442 dengan 489 kaunter tidak berubah dan 1,048 tidak diniagakan.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kaunter-kaunter berkaitan sektor minyak dan gas, perladangan, pengguna dan tenaga merupakan industri yang memberi impak utama kepada prestasi Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).
Jelas beliau, peserta pasaran sedang menantikan keputusan mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) berkenaan kadar faedah yang dijangka akan diturunkan sebanyak 50 mata asas.
“Justeru itu, situasi ini dilihat dengan agak berhati-hati kerana pihak Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) juga berkemungkinan menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.
“Perkara ini telah mewujudkan keadaan ketidakpastian, yang menyebabkan pasaran akan menjadi lebih berhati-hati dalam aktiviti dagangan,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN











