Empat hari Thailand kaut RM100 juta dari rakyat Malaysia

Empat hari Thailand kaut RM100 juta dari rakyat Malaysia

DIANGGARKAN lebih RM100 juta mengalir ke Thailand berikutan hampir 100,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi negara jiran itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hanya dalam tempoh empat hari, dianggarkan lebih RM100 juta mengalir ke Thailand berikutan hampir 100,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi negara jiran itu khususnya di lima wilayah selatan. 

Jumlah tersebut mengambil kira seorang pengunjung atau keluarga berbelanja minimum RM1,000 sepanjang empat hari cuti hujung minggu sempena sambutan Hari Malaysia. 

Sejak Januari lalu sehingga pertengahan September ini pula, hampir dua juta pelancong Malaysia direkodkan bercuti ke Thailand dengan wang mengalir keluar mencecah RM2 bilion. 

Kelmarin sahaja difahamkan hampir 300 buah bas keluar dari Thailand selepas pelancong Malaysia menghabiskan tempoh percutian mereka di negara jiran itu. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, pengunjung Malaysia mula membanjiri Thailand khususnya di lokasi-lokasi tumpuan pelancongan seperti Hatyai, Songkhla, Krabi dan Satun sejak Jumaat lalu. 

Menurutnya, sebanyak 32,000 bilik juga habis ditempah sepanjang tempoh 12 hingga 23 September ini. 

Ujar beliau, secara purata pengunjung atau keluarga berbelanja antara RM600 sehingga RM3,000 sepanjang tempoh percutian itu.

“Thailand khususnya di kawasan lima wilayah selatan Thailand ini terus menjadi pilihan pengunjung Malaysia khususnya pada setiap kali cuti hujung minggu dan cuti persekolahan. 

“Pelancong Malaysia direkodkan paling tinggi khususnya membabitkan kawasan lima wilayah selatan Thailand merangkumi Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat dan Satun,” katanya. 

Sejak Jumaat lalu, pintu sempadan Malaysia khususnya di Padang Besar dan Wang Kelian sesak dengan seawal pagi kenderaan mula beratur panjang sehingga satu kilometer untuk bercuti di negara gajah putih itu. 

Malah, kenderaan persendirian, bas dan van pelancong dari Malaysia juga dilihat berpusu-pusu menanti giliran di sempadan masuk Padang Besar bagi proses dokumentasi untuk memasuki Thailand bermula sejak pukul 6 pagi. 

Di pintu sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah pula, dilaporkan lebih 51,000 pelancong melalui pintu sempadan itu pada Khamis dan Jumaat lalu dengan jumlahnya terus meningkat. 

Kadar tukaran mata wang ringgit Malaysia (RM) dengan Thai baht ketika ini RM100 bersamaan 770 bath. 

Menurut Aida, cuaca tidak menentu dengan sering kali hujan di Thailand ketika ini tidak menghalang pelancong bercuti ke negara tersebut dengan difahamkan semalam sahaja lebih 600 kenderaan dari Malaysia memasuki negara tersebut. 

Dalam pada itu, Aida memberitahu, selain rakyat Malaysia ke Thailand, ramai pengunjung dari Thailand bercuti ke Malaysia seperti di Cameron Highlands, Genting Highlands, Kuala Lumpur dan pelbagai destinasi lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×