Speedy Tigers perlu pelan jangka panjang

Speedy Tigers perlu pelan jangka panjang

AKSI Speedy Tigers dalam kejohanan Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2024 di Pusat Latihan Moqi, Hulunbuir, China .-IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil melahirkan kebimbangan terhadap prestasi skuad hoki negara yang menamatkan saingan di kedudukan tercorot pada Kejohanan Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2024, kelmarin.

Beliau menyifatkan kebergantungan pasukan negara kepada pemain senior sebagai punca utama kemerosotan prestasi, selain kurangnya perancangan untuk menggilap bakat muda sebagai pelapis yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Skuad hoki kita terlalu bergantung kepada pemain-pemain lama yang telah lama mewakili negara. Tidak ada salahnya menggunakan pengalaman mereka, tetapi persoalan timbul apabila tiada pelapis yang diberi ruang untuk beraksi dan menyerap pengalaman di peringkat tinggi.

“Persembahan Malaysia di ACT 2024 jelas menunjukkan kelemahan di beberapa bahagian, terutamanya dari segi stamina dan corak permainan yang tidak menunjukkan banyak peningkatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau juga menambah, walaupun Sarjit memerlukan lebih banyak masa untuk mengukuhkan pasukan, elemen pembaharuan dalam taktikal dan strategi juga harus diberikan perhatian.

“Saya percaya Sarjit Singh seorang jurulatih yang berpengalaman, tetapi kita perlu faham, era hoki kini memerlukan pendekatan yang lebih dinamik dan keupayaan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan besar,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Tengku Ahmad turut menyeru agar pihak pengurusan hoki negara mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh pembangunan akar umbi.

“Kita memerlukan pelan jangka panjang yang jelas, supaya bakat muda dapat digilap dan akhirnya mampu menggantikan pemain senior yang sudah lama beraksi,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Sarjit wajar diberi peluang untuk membuktikan kemampuan dalam tempoh masa yang lebih panjang.

“Masa yang diberikan kepada Sarjit akan menentukan sejauh mana kita mampu bangkit daripada kegagalan ini. Perlu ada kesabaran dan komitmen menyeluruh dari semua pihak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×