Mona Allen sedia bawa watak lebih berat - Utusan Malaysia

Mona Allen sedia bawa watak lebih berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila bergelar pelakon pastinya mereka ingin mencuba dan menerokai semua watak serta perwatakan sedia ada supaya dapat menjadi aktor atau aktres yang versatil. Bagaimanapun, proses untuk menyelami setiap perwatakan itu akan mengambil sedikit masa. Ibarat bayi mula merangkak kemudian bertatih perlahan-lahan mengelilingi rumah.

Pembabitan pelakon cantik, Mona Allen di lapangan seni lakonan ini sudah memegang watak baik ataupun jahat. Malah dia berjaya menghidupkan dengan kemas sehingga membuatkan sang penonton berasa benci terhadap watak lakonannya. Bagaikan jiwa yang tenang terus tidak tenteram gara-gara aksinya yang mengundang itu.

Justeru, atas kepercayaan sutradara Raja Mukhriz, Mona tampil membawakan sisi gelap baharu menerusi filem Salina yang sedang ditayangkan di semua pawagam tempatan.

“Setahun filem ini terperam dan apabila ditayangkan, tipu kalau saya kata tidak gementar sebab nak tengok hasil lakonan sendiri. Lebih-lebih lagi watak berat luar daripada kebiasaan yang pernah saya lakonkan.

“Secara peribadi saya berpuas hati dan kalau ada rezeki ditawarkan watak seumpama ini saya terima. Saya sebenarnya suka sangat melakonkan watak-watak berat ini. Iyelah kalau dalam drama lazimnya perwatakan yang biasa orang tonton seperti penggoda dan jahat yang ringan.

“Sebagai contoh filem Salina, saya percaya boleh memberikan lebih lagi perwatakan untuk menyerlahkan sisi watak berat itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, cerita Mona atau nama lengkapnya Munna Hafiraniza Allen, 35, yang juga merupakan isteri kepada Pekin Ibrahim, watak berat itu lebih menjadi apabila suaminya sendiri mempunyai kaedah tersendiri dalam tidak sedar mendidik dia untuk menghidupkan watak tersebut.

“Awalnya saya seronok sebab dalam filem itu, Pekin ada juga. Jadi saya rasa mungkin suami boleh tolong. Rupa-rupanya cara dia adalah dengan tidak bercakap dengan saya untuk jangka masa hampir sebulan memang berkesan.

“Jiwa saya jadi tertekan dan tertanya-tanya kenapa dia buat saya macam itu, selepas habis penggambaran barulah saya faham selepas dia jelaskan tindakannya itu,” luah Mona.

Sementelah itu, Mona mengakui pada setiap lakonan dia cuba memberikan yang terbaik dan berhasrat untuk masuk ke kelas lakonan dan sebaiknya ada acting coach bagi menambah baik kualiti lakonan. Sungguhpun begitu, masa tidak berpihak ke atas dirinya.

“Teringin juga nak masuk tetapi masa tiada pula. Setiap kali nak masuk kelas mesti terlibat dengan penggambaran. Jadi saya ambil pembelajaran hanya melalui proses bacaan skrip bersama pelakon-pelakon lain sahaja. Tapi Alhamdulillah suami ada, saya minta tunjuk ajar daripada dia sahaja,” katanya.

Mona memulakan kerjaya seni sejak tahun 2000 lagi sebagai seorang pengacara menerusi program Sinaran Passport Kegemilangan di saluran TV3. Kehadiran bintang itu sebagai seorang pelakon pula bermula sekitar 2016 dan antara penglibatan dramanya seperti Mr. Donat Karamel, Cik Serba Tahu, Monalisa, Cinta Non Grata dan Kebaya Kasut Kanvas. Manakala telefilem, Joran Van Haji Murshid, Kitab Sijjin dan Jerat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×