MEMILIKI anak-anak istimewa bukan alasan untuk ibu bapa membataskan penglibatan golongan itu dalam sukan.
Jaguh pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou berkata, peluang dan pendedahan pada aktiviti tersebut perlu diberikan sejak kecil lagi.
Langkah itu bukan sahaja dapat mencungkil bakat terpendam golongan sasar, bahkan membantu negara melahirkan generasi atlet pelapis.
“Nasihat saya pada ibu bapa, bawalah anak-anak bersukan sejak kecil kerana dengan cara itu kita dapat tengok kebolehan mereka.
“Jika terus digilap dan diberikan latihan intensif, bakat serta potensi mereka boleh dikembangkan hingga bergelar atlet negara,” katanya selepas diraikan dalam majlis anjuran jam tangan mewah, Omega baru-baru ini.
Beliau turut menerima seutas jam edisi tangan edisi Olimpik iaitu, Speedmaster Chronoscope Paris 2024 daripada Naib Presiden Omega Malaysia, Martin Issing.
Pada Sukan Paralimpik Paris lalu, Liek Hou mengharumkan nama Malaysia apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen negara selepas mengungguli acara perseorangan lelaki SU5.
Beliau berjaya menewaskan wakil Indonesia, Suryo Nugroho secara straight set 21-13, 21-15 sekali gus mempertahankan emas yang pernah dimenangi di Tokyo 2020.
Kejayaan memenangi emas itu melayakkannya menerima ganjaran sebanyak RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Sementara itu, bagi meningkatkan prestasi sukan para, atlet berusia 36 tahun ini menyarankan lebih banyak kejohanan peringkat kebangsaan dianjurkan di Malaysia.
Katanya, menerusi pendekatan tersebut, ramai atlet orang kurang upaya (OKU) berpeluang beraksi dan mempamerkan potensi diri dalam sukan-sukan diceburi.
“Dengan adanya pertandingan bertaraf kebangsaan di Kuala Lumpur dan di sekitar zon ini, lebih ramai atlet para dapat diketengahkan serta dicungkil bakatnya,” katanya.
Sumbang duit kemenangan pada bekas atlet
Bagi memanfaatkan wang kemenangannya, Liek Hou berhasrat menyumbangkan sebahagian daripadanya bagi membantu golongan bekas atlet yang memerlukan.
Buat masa ini, beliau sudah berbincang dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk mendapatkan senarai penerima yang layak.
“Tiga tahun lalu, saya pernah menyumbangkan wang kemenangan kepada pertubuhan anak yatim, OKU dan rumah orang tua, justeru kali ini saya mahu buat kelainan dengan membantu golongan bekas atlet pula.
“Saya percaya, bantuan yang dihulurkan kepada golongan ini dapat menambahkan lagi rezeki saya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu akan kembali berlatih bermula minggu ini sebagai persediaan beraksi di dua kejohanan di Jepun dan Bahrain.











