BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran akan melakukan serangan balas terhadap Houthi di Yemen, selepas kumpulan itu buat kali pertama melancarkan serangan peluru berpandu ke tengah Israel semalam.
Jurucakap Houthi, Yahya Sarea memaklumkan, kumpulannya melancarkan peluru berpandu balistik hipersonik baharu pada jarak 2,040 kilometer dalam masa hanya 11 minit setengah sebelum tiba di Israel.
Seorang pegawai tentera Israel berkata, peluru berpandu tersebut telah dihalang oleh sistem pemintas, menyebabkannya pecah di udara.
Siren amaran serangan udara berbunyi di Tel Aviv dan tengah Israel sekitar pukul 6.35 pagi waktu tempatan, menyebabkan penduduk mencari tempat berlindung sebelum satu letupan kuat kedengaran.
Serpihan peluru berpandu itu jatuh di ladang dan berhampiran stesen keretapi, mengakibatkan sembilan orang cedera ringan, namun tiada kematian dilaporkan.
Reuters melaporkan, kepulan asap boleh dilihat di sebuah ladang di tengah Israel.
Dalam mesyuarat Kabinet mingguan, Netanyahu berkata, Houthi akan berdepan serangan balas yang hebat susulan kejadian terbabit.
Houthi sering melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel sebagai solidariti dengan rakyat Palestin, sejak perang Gaza bermula pada bulan Oktober lalu.– AGENSI










