GAZA: Rakyat Palestin diancam kebuluran berikutan sekatan berterusan Israel memaksa lima daripada enam kedai roti yang berfungsi di utara Gaza ditutup.
Lima kedai roti di bahagian utara kini ditutup akibat sekatan Israel terhadap kemasukan bahan bakar dan bahan mentah.
Pemilik kedai roti, Kamel Ajjour berkata, kilangnya adalah satu-satunya premis yang masih berfungsi di kawasan itu.
Bagaimanapun, kedai rotinya berisiko ditutup dalam tempoh seminggu akan datang, jika Israel terus melaksanakan sekatan bahan api dan bekalan penting.
Ajjour berkata, bahan api tidak dihantar ke kedai roti di utara Gaza selama lebih daripada 10 hari.
“Bekalan bahan penting seperti tepung, gula dan yis semakin berkurangan selama hampir sebulan,” katanya sambil memberi amaran krisis kebuluran jika kedai rotinya turut menghentikan operasi di utara Gaza.
Susulan itu, Ajjour menggesa organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk segera campur tangan bagi mencegah krisis kebuluran di bahagian utara wilayah.
Pada masa sama, beliau turut mendesak penghantaran segera bahan api dan bekalan penting untuk mengekalkan pengeluaran roti kepada penduduk di kawasan itu.
Sehingga kini, perang Israel terhadap Gaza berterusan selama hampir setahun, walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menuntut gencatan senjata segera.
Lebih 41,200 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh, dengan lebih 95,300 yang lain cedera akibat serangan ketenteraan Israel.
Konflik panjang itu turut menyebabkan keseluruhan penduduk hilang tempat tinggal dan berdepan kekurangan makanan, air bersih serta bekalan perubatan.- ANADOLU










